Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Selesaikan pertikaian kedaulatan Laut China Selatan pada ASEAN 2025 -MTEM



KUALA LUMPUR – Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menuntut ketegasan Malaysia selaku pengerusi persidangan ASEAN 2025 untuk meleraikan pertikaian kedaulatan dan keselamatan maritim di Laut China Selatan yang diganggu China.

Felo Kanan MTEM, Ahmad Yazid Othman menegaskan, ASEAN masih merupakan platform terbaik bagi merungkai apa jua isu atau kebimbangan dengan cara kita sendiri atau “The ASEAN Way”.


Katanya, MTEM berharap isu ini dapat dibawa ke peringkat Jemaah Menteri, dan dibincangkan diperingkat ASEAN sepanjang kepengerusian Laos tahun ini sebelum Malaysia mengambil-alih pada 2025 nanti.

Justeru, atas kerisauan tersebut, MTEM mahu Laos dan Malaysia selaku pengerusi ASEAN bagi penggal 2024 dan 2025 menjadikan kedaulatan dan keselamatan maritim ASEAN sebagai agenda utama mereka.

Menurut beliau, MTEM mencadangkan agar Kepengerusian Malaysia pada ASEAN 2025 harus memuktamadkan tiga objektif utama berhubung kedaulatan maritim Laut China Selatan.

“Pertama, mencapai kesepakatan ASEAN dalam menyelesaikan tuntutan bertindih terhadap wilayah yang menjadi pertikaian. Pertikaian yang tidak berkesudahan bukan sahaja merugikan ASEAN kerana seluruh dunia akan turut terkesan.

“Kedua, memuktamadkan keperluan menyediakan kawalan sempadan maritim bersama. Secara berasingan keupayaan negara anggota ASEAN amat terhad, namun secara kolektif MTEM yakin ASEAN mampu mengimbangi cabaran kuasa-kuasa hegemoni,” katanya.

Kata Ahmad Yazid lagi, jika disandarkan pada kedudukan geopolitk dan sejarahnya, Malaysia berada pada kedudukan terbaik untuk merealisasikan hasrat ini pada 2025 nanti.

“Cadangan ketiga, kesepakatan ASEAN untuk mendesak China menghentikan apa jua bentuk provokasinya keatas wilayah-wilayah yang dipertikaikan atas dasar menghormati hak dan kedaulatan negara tetangga.

“ASEAN tidak boleh teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas seperti memboikot produk produk serta perkhidmatan atau merujuk kes ke tribunal antarabangsa sekiranya China terus berdegil,” cadangnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Jelas beliau, selepas Laos memimpin ASEAN tahun ini, akan tibalah pula giliran Malaysia mempengerusikan badan induk Asia Tenggara itu pada 2025 nanti.

Bahkan katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini telah mengarahkan jemaah menterinya untuk bersedia lebih awal agar kepengerusian Malaysia benar-benar memberi dampak yang diharapkan.

Ujar Ahmad Yazid, perbezaan paling ketara kepengerusian Malaysia berbanding sepuluh tahun lalu ialah peningkatan mendadak kapal-kapal China di perairan Laut China Selatan.

“Tindakan kuasa besar dunia itu yang kerap menceroboh sempadan maritim negara-negara Asia Tenggara khususnya Vietnam, Filipina, Malaysia, Indonesia dan Brunei sudah tidak boleh lagi dibiarkan berleluasa.

“Laut China Selatan dan Selat Melaka sejak zaman berzaman sememangnya merupakan jalan dagang tersibuk dunia atas fungsinya menyediakan akses pasaran timur dan barat dunia. Ia menghubungkan Asia Utara dan Timur dengan negara-negara teluk dari aspek perdagangan, terutamanya import minyak mentah. Ia juga menghubungkan Amerika dan sekutunya di Timur Laut Asia sebagai laluan pengangkutan dan saluran komunikasi komersial dan ketenteraan.

“Pada hari ini dagangan bawaan kapal di perairan tersebut dianggarkan bernilai lebih tiga trilion dolar Amerika. Cuma dalam kerancakan Kerajaan Malaysia Madani mempromosi pelaburan domestiknya, kegagalan menangani provokasi China secepat mungkin dikhuatiri akan mengheret Malaysia dan ASEAN ke kancah geopolitik yang lebih parah, dan dengan kesan ekonomi yang buruk,” katanya.