Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Sokongan kepada PAS dah tepu, takkan menang besar tanpa PN -Muhyiddin


KUALA LUMPUR: Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata sokongan rakyat terhadap PAS sudah “tepu” sebelum bergabung dengan parti itu bawah Perikatan Nasional (PN) yang melonjak kedudukannya pada PRU15.

Mengambil contoh situasi sebelum PRU November lalu, pengerusi PN berkata PAS yang bergerak solo tidak merekodkan jumlah kemenangan majoriti besar dinikmati kini selain menang empat negeri dan hampir menawan Selangor.


“PAS, Bersatu dan Gerakan melihat ini sebagai satu kekuatan. Mereka tak boleh bersendirian…boleh tetapi kesannya tak sebegini (menang besar), contoh dalam PRU lepas majoriti mereka biasa 10,000 ke 15,000 undi tetapi (presiden PAS) Hadi (Awang) contohnya sampai 40,000 undi.

“Dia (PAS) dah sampai tahap tepu tetapi dengan gabungan PN penerimaan rakyat begitu besar sekali sehingga catat majoriti luar biasa,” katanya dalam temu bual bersama FMT semalam.

Untuk rekod, PAS bawah PN menang 43 kerusi Parlimen pada PRU15– pencapaian terbaiknya sejak menyertai pilihan raya yang dilabel ramai sebagai “gelombang hijau” kerana penguasaan terutama di kerusi majoriti pengundi Melayu dan Islam.

PAS juga mengekalkan pentadbiran di Kedah, Kelantan dan Terengganu selain merampas Perlis yang sekian lama menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN).

“Ini satu petanda maknanya bukan orang nak sokong PAS atau Bersatu tetapi PN sebagai gabungan.”

Justeru, Muhyiddin berkata PAS kekal bersama PN yang ditubuhkan secara rasmi tiga tahun lalu, di sebalik perkembangan empat Ahli Parlimen Bersatu menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan alasan demi pembangunan serta kebajikan kawasan diwakili.

Mereka adalah Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).

“Setahu saya tak berganjak sebab PAS pun bijaksana kerana tahu tiada parti politik boleh berjuang sendirian, solo dan bentuk kerajaan.

“Bersatu (30 kerusi Parlimen pada PRU15 kini 26) sendiri tak mampu bentuk kerajaan, PAS pun tak mampu walaupun menang besar sikit…malah mereka lebih lama daripada kita,” katanya.

Mengulas kesediaan Anwar menerima PAS dalam kerajaan perpaduan, Muhyiddin pantas menolak cadangan itu yang mungkin menjejaskan kekuatan pembangkang di Parlimen dengan hanya mengharapkan wakil rakyat Bersatu serta Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada Muda.

“Bagaimana mereka nak ke sana, puak-puak itu bukan sehaluan dari segi ideologi dan pegangan agama berbeza,” katanya.