Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Sanusi didakwa esok di mahkamah Seksyen Selayang


Kuala Lumpur: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dijangka akan didakwa di dua Mahkamah Seksyen Selayang, esok.

Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dipercayai akan didakwa berhubung kenyataan mempertikaikan kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besarnya.

Menerusi semakan sistem dalam talian mahkamah terdapat nama Muhammad Sanusi Md Nor yang akan didakwa di dua mahkamah sesyen berbeza di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin dan Osman Affendi Mohd Shalleh.


Pendakwaan terhadap Sanusi ditetapkan untuk didengar pada jam 9 pagi.

Dalam ucapannya yang tular, pemimpin Pas itu dikatakan menyentuh mengenai perkenan Sultan Selangor, berkaitan pelantikan Menteri Besar Selangor.

Susulan itu, pelbagai pihak membuat laporan polis termasuk yang menyifatkan menghina institusi beraja di Selangor.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar Ahli Dewan Undangan Negeri Jeneri itu, Muhamad Mat Yakim berkata, setakat ini pihaknya belum menerima maklumat berhubung perkara itu.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap Muhammad Sanusi berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja), dalam ceramah politiknya baru-baru ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan berkenaan kes itu, dijangka mengambil masa selama tujuh hari.

Siasatan berkaitan 3R berkenaan dilakukan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.