Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Wee Ka Siong umum lepaskan jawatan


     
JOHOR BAHRU – Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong hari ini mengesahkan melepaskan jawatan parti peringkat Bahagian Johor Bahru yang telah disandangnya sejak 30 tahun lalu.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, sebelum ini, beliau menjawat jawatan sebagai Setiausaha MCA di bahagian itu selama 15 tahun sebelum menjadi Ketua MCA Bahagian juga dalam tempoh yang sama.

“Hari ini secara rasminya saya ingin memaklumkan kepada semua yang saya melepaskan jawatan peringkat bahagian, agak sedih juga kerana telah berada di bahagian ini sejak saya berumur 26 tahun lagi.


“Saya bermula dengan Biro Aduan Awam MCA bahagian di mana saya terlibat menguruskan mangsa-mangsa scammer, mangsa ah long dan lain-lain kes sehingga menjadi ketua bahagian.

“Tetapi saya yakin dan percaya perlu adanya peralihan kepimpinan di peringkat bahagian bagi meneruskan kesinambungan demi kesejahteraan masa depan parti,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas membuang undi bagi memilih jawatan Ketua MCA Bahagian Johor Bahru yang diadakan di Dewan Jubli Intan hari ini.

Jelas Ka Siong, MCA Bahagian Johor Bahru telah melahirkan ramai pemimpin bukan sahaja peringkat parti tetapi juga di dalam Kabinet.

“Tanggungjawab dan perkara itu kini diteruskan oleh saudara Lee Ting Han,yang kini merupakan Ketua Pemuda MCA Bahagian Johor Bahru dan juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor.

“Saya juga ingin melahirkan keyakinan MCA Bahagian Johor Bahru akan terus berjaya mencapai lebih banyak kejayaan pada masa depan,” katanya.

Jawatan Ketua MCA Bahagian Johor Bahru kini disandang Bong Seng Heng yang menerima sebanyak 152 undi berbanding pencabarnya, Ang Boon Heng yang menerima 45 undi.

-MalaysiaGazette