Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Layanan terhadap Najib bayangan masa depan Kerajaan Perpaduan



PERHIMPUNAN Agung UMNO (PAU) 2023 telah berakhir semalam. Perhimpunan yang kebiasaannya dilakukan pada penghujung tahun tapi entah kenapa dilaksanakan di pertengahan tahun sebelum pilihan raya (PRN) di enam negeri berlangsung.

Ada cakap-cakap menyatakan perhimpunan terpaksa diadakan sekarang untuk mengelakkan hentaman perwakilan kepada pemimpin UMNO pada perhimpunan hujung tahun jika keputusan buruk melanda parti pemerintah pada pilihan raya di enam negeri.

Pendaman perasaan akar umbi yang sangat kecewa kerana bekas presiden parti itu Datuk Seri Najib Tun Razak masih lagi menjalani hukuman penjara dapat dirasakan sepanjang PAU berlangsung.


Perasaan tidak puas hati ahli UMNO bagaikan lahar gunung berapi yang mungkin meledak pada bila-bila masa.

Mereka mungkin kelihatan berdiplomasi apabila hanya mengangkat poster ‘Solidariti untuk Najib Razak, Justice for Najib Razak dan menjerit ‘bebaskan Najib’ ketika Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan Ucapan Dasar Presiden.

Malah mereka mungkin kelihatan santai membawa poster tersebut ke sana ke mari sepanjang PAU berlangsung menuntut secara aman agar Najib diberikan pengampunan diraja.

Nanum suara perlahan perasaan tidak puas hati itu bakal menjadi semakin kuat sekiranya Kerajaan Perpaduan yang dianggotai oleh pemimpin UMNO tidak berbuat apa-apa bagi pengampunan Najib.

Ramai yang tertanya-tanya mengapa Tun Dr. Mahathir Mohamad boleh ‘memudahkan’ proses pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas dua hari Pakatan Harapan menang pilihan raya umum ke-13.

Nanun perkara yang sama tidak boleh dilakukan terhadap Najib oleh Kerajaan Perpaduan. Tujuh bulan Kerajaan Perpaduan telah ditubuhkan namun Najib masih dalam penjara.

Mereka juga kecewa kerana pemimpin utama UMNO kelihatan dingin terhadap nasib Najib selepas berkobar-kobar memohon pertimbangan Yang Dipertuan Agong memberi pengampunan penuh pada awal April lalu.

Mungkin kerana kecewa ada ahli parti yang melakukan tindakan ‘pemberontakan dalaman’ dengan menyebarkan risalah yang mengkritik kepimpinan UMNO.

Risalah berbunyi ‘Bossku masih tidak mendapat keadilan. Apa guna UMNO berkuasa dan DS Zahid jadi TPM. Jika keadilan masih tidak ditegakkan di bumi Malaysia’ disebarkan di sekitar Dewan Merdeka dan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Puad Zakashi tidak menolak kemungkinan pengebaran risalah itu dilakukan oleh ahli parti.

“Ini percubaan untuk pecah-belahkan UMNO. Ini kerja orang dalam yang bergabung dengan orang luar. Tidak hairan segelintir kluster gantung dan pecat UMNO terlibat.

“Tetapi mereka terkedu bila Zahid bangkitkan isu pembelaan Najib dalam ucapan dasarnya. Bahkan video ucapan (Datuk) Mohd Nizar Najib ditayangkan,” katanya.

Realiti, rata-rata perwakilan UMNO dan akar umbi kekal dengan kepercayaan bahawa Najib adalah mangsa penganiayaan politik dan beliau telah dinafikan perbicaraan yang adil dalam kes SRC International.

Wakil Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain misalnya menegaskan, Najib dipenjarakan akibat permainan politik jahat ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Ketujuh.

“Adakah kita percaya Datuk Seri Najib terpenjara kerana korupsi yang dilakukan oleh beliau? Kita tidak percaya. Apakah kita nak biarkan Bossku berada di sana lebih lama?” soalnya ketika mencadangkan usul ucapan dasar presiden.

Di luar dewan cakap-cakap mengenai ketidakadilan terhadap Najib juga kuat. Malah ada yang mencadangkan hanya pembebasan Najib boleh memberi kemenangan kepada parti Kerajaan Perpaduan pada PRN nanti.

“Aura Bossku memang kuat, sebelum ini tujuh pilihan raya kecil BN menang besar. Melaka 70 peratus DUN menang. Johor pun sama.

“Kalau dapat dikeluarkan Bossku sebelum pilihan raya insya-Allah akan menang. Akar umbi memang tak puas hati. Kesalahan yang dibuat dicipta untuk disumbat ke dalam (penjara),” kata Ahli Jawatankuasa UMNO Tanjong Karang, Kamarulzaman Mat Sani.

Ketua UMNO Bahagian Kulai, Datuk Mohd. Jafni Md. Syukor pula berpandangan pembebasan Najib boleh memperkuatkan Kerajaan Perpaduan.

“Kami di peringkat perwakilan sangat bersetuju dengan apa yang disarankan oleh Presiden UMNO, perlu ada usaha berterusan untuk membela Najib.

“Saya yakin dan percaya Najib boleh menyumbang ke arah kemenangan dalam PRN akan datang,” katanya.

Nama dan wajah Najib sukar untuk dipadamkan daripada ahli UMNO. Najib dikenang kerana kebaikan dan pembangunan yang dibuat kepada rakyat dan negara.

Ada pemerhati menyebut bahawa perwakilan hanya teruja apabila Zahid menyebut nasib Najib dalam ucapan pembukaannya.

Kini, nasib dan takdir Najib dan Kerajaan Perpaduan seolah-olah terikat antara satu sama lain.

Bagaimana layanan terhadap Najib mungkin begitulah sokongan akar umbi UMNO terhadap Kerajaan Perpaduan kelak.

Disunting dari: MalaysiaGazette