Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

PAS pernah sokong DAP, penyokong tak lari pun -Puad jawab Khairy


Pemimpin Umno menyanggah pendapat bekas ahli parlimen Rembau Khairy Jamaluddin bahawa parti itu akan kehilangan lebih 50 peratus sokongan pengundi Melayu dalam enam pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan nanti.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi berkata andaian Khairy bahawa Umno akan kehilangan 50 peratus undi hanya kerana ahli parti itu telah lama didoktrin anti-DAP tidak berasas.

"Dakwaan KJ (Khairy) bahawa 50 peratus pengundi Umno akan beralih undi kepada Perikatan Nasional (PN) hanya andaian. Alasan KJ ialah ahli Umno sudah lama didoktrin anti-DAP. Justeru mereka tolak saranan Ahmad Maslan supaya mengundi DAP.


"Andaian KJ tidak kukuh. Permusuhan politik tidak kekal. PAS pernah berkawan dengan DAP. Kita tidak dengar pun separuh pengundi PAS lari tinggalkan PAS.

"Ahli Umno sudah biasa dengan pendekatan politik yang berubah-ubah. Bahkan Umno bukan pengamal politik sempit. Sebab itu tidak ada protes besar-besaran apabila MKT memutuskan untuk menyertai Kerajaan Perpaduan," katanya kepada Malaysiakini.

Kelmarin Khairy meramalkan Umno akan hilang separuh sokongan undi Melayu pada PRN akan datang jika tidak menghapuskan persepsi buruk terhadap DAP yang “didoktrin” sekian lama.

Khairy mendakwa kenyataan Ahmad mengenai “undi DAP” adalah sensitif sehingga mencetuskan kemarahan dan penolakan dalam kalangan ahli parti itu.

“Pandangan dan perasaan orang Umno bukan terhadap satu kaum, soal Melayu dan Cina, tetapi terhadap parti DAP itu sendiri, yang selamanya ‘didoktrin’ dalam Umno sebagai musuh atas sebab-sebab tertentu," katanya dalam episod terbaru podcast Keluar Sekejap yang dikendali bersama bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan.

"Menyertai kerajaan perpaduan bermakna ahli Umno menerima DAP sebagai rakan kongsi kuasa. Ini termasuk mengundi semasa di PRN nanti," kata Mohd Puad lagi.

Ramalan jabatan cuaca

Sementara itu Setiausaha Agung Veteran Umno, Mustapha Yaakub menyifatkan kenyataan Khairy umpama "ramalan jabatan kaji cuaca".

"Mendengar komen mereka yang dipecat daripada Umno seperti mendengar ramalan jabatan kaji cuaca tentang ribut petir dan hujan lebat yang belum tentu ia berlaku. Kalau pun berlaku ia angin kencang dan hujan di sana-sini.

"Semua tahu KJ marahkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. Bukan baru tapi sudah lama. Kerana marahkan Zahid maka dia banyak mengeluarkan kenyataan yang memburukkan Umno sehingga dia dipecat dari Umno.

"KJ tidak ada sebab untuk membuat komen tentang Umno kerana dia bukan lagi ahli Umno lebih baik dia memilih parti lain untuk menjadi wadah perjuangannya," katanya

Mustapha berkata, Khairy dan kumpulan yang tidak berpuas hati dengan Ahmad Zahid ekoran penyertaan Umno dalam Kerajaan Perpaduan dijangka akan terus mengeluarkan kenyataan yang bertujuan mengelirukan dan menakut-nakutkan ahli Umno.

Sementara itu Naib Ketua Umno bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri pula berpendapat kenyataan Khairy merupakan kerisauan bekas menteri kesihatan itu terhadap Umno.

"Ia merupakan satu kerisauan daripada KJ terhadap potensi yang berkemungkinan akan berlaku. Tapi pada saya kerisauan KJ itu tidak salah kerana ini pertama kali Umno bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan yakni Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai tiga parti komponen terbesar.

"Jadi kalau nak kata undi Umno hilang 50 peratus saya kira terlalu awal untuk kita menyatakan kenyataan itu tepat," katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun katanya, Umno perlu menyakinkan ahlinya serta masyarakat berhubung kerjasama mereka dalam Kerajaan Perpaduan.

-MalaysiaKini