KUALA LUMPUR, 20 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menerusi siaran langsung di laman Facebooknya semalam, mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi respons kepada soalan Presiden Gerakan, Dominic Lau mengenai kes Hakim Nazlan di Parlimen.
Menurut Lokman, kenyataan Anwar di Parlimen bukanlah kenyataan dari diri beliau sendiri.
"Saya nak maklumkan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh YAB Perdana Menteri bukanlah kenyataan beliau. Tapi beliau telah menjawab soalan YB Dominic bilamana bertanyakan apa status kes Hakim Nazlan.
“Sebenarnya, kes Hakim Nazlan ini ada dua bahagian. Pertama ialah berhubung kemasukan duit lebih kurang RM1 juta. Ada sebelas transaksi masuk ke dalam akaun Maybank Hakim Nazlan yang tidak ada penjelasan. Ini siasatan pertama yang dikatakan kononnya duit ini datangnya daripada Jho Low.
“Kedua ialah siasatan berhubung kesalahan yang dilakukan oleh Hakim Nazlan iaitu melanggar Kod Tataetika Hakim 2009, perkara (8) (1a). Jadi kena faham, ada dua isu melibatkan Hakim Nazlan.
“Untuk kes transaksi RM1 juta tersebut, memang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati bahawa penjelasan yang diberikan oleh Hakim Nazlan tidak mengandungi unsur rasuah, salah guna kuasa atau apa pun unsur jenayah,” katanya.
Beliau yang juga Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia turut menjelaskan meskipun perkara ini dimasukkan sebagai bukti baharu tambahan dalam kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib, namun ianya ditarik balik.
“Itu sebabnya peguam Datuk Seri Najib walaupun pada peringkat awal kita masukkan perkara ini di dalam senarai bukti baharu, tetapi akhirnya telah ditarik balik kerana didapati kemungkinan besar Hakim Nazlan telah memberikan jawapan yang munasabah.
“Kenyataan SPRM sebelum ini juga pernah dijawab oleh Datuk Seri Azalina Othman. Beliau turut ‘dibelasah’ teruk tetapi sebenarnya beliau ditanya berhubung dengan mengenai kes Hakim Nazlan yang berkaitan dengan pelanggaran Kod Tataetika Hakim 2009 di bawah Seksyen 8 (1a).
“Jadi saya nak beritahu, untuk kes ini memang SPRM mengatakan bahawa Hakim Nazlan telah melanggar Kod Tataetika Hakim tahun 2009 dan perkara ini telah dibawa ke mahkamah, didengari oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun. Beliau yang mengetuai panel hakim itu telah membuat keputusan bahawa Hakim Nazlan tidak melanggar Kod Tataetika Hakim,” katanya lagi.
Menurut Lokman, apa yang telah dibahaskan oleh Perdana Menteri di Parlimen semalam merupakan keputusan telah dibuat oleh Tun Tengku Maimun dan beliau turut yakin bahawa terdapat banyak bukti boleh disabitkan ke atas Hakim Nazlan berikutan kes pelanggaran Kod Etika Hakim 2009.
“Apa yang Perdana Menteri telah bahaskan di parlimen, beliau telah membaca keputusan yang dibuat oleh Ketua Hakim ketika itu.
“Namun saya yakin bahawa terdapat banyak bukti yang boleh menunjukkan bahawa Hakim Nazlan memang telah pun melanggar Kod Etika Hakim 2009 seperti yang diperkatakan oleh pihak SPRM. Cuma hanya ada satu pihak sahaja yang boleh mengambil tindakan iaitu Badan Kehakiman itu sendiri.
“Saya beranggapan bahawa kemungkinan besar kerajaan menyedari tentang perkara ini cuma kita harap kerajaan dapat memastikan bahawa usaha untuk memperbetulkan dan membersihkan badan kehakiman ini tidak boleh dihentikan walaupun kita tahu memang amat sukar. Ianya perlu dilakukan dengan sehabis baik,” katanya lagi.
Disunting dari: UMNO Online