Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Bekas calon bebas dedah PAS 'tikam belakang' BN hingga MN terkubur

Bekas calon bebas PRK Chini, Mohd Shukri Mohd Ramli

Dakwa MB Niat Jahat: Saya saksi PAS 'Tikam Belakang' UMNO Di PRK DUN Chini !

Kali ini saya tertarik untuk mengulas kenyataan PAS Pahang yang menyelar tindakan Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Hj Wan Rosdy Wan Ismail yang didakwa menuduh parti itu 'tikam belakang' hingga menyaksikan Muafakat Nasional (MN) berkubur di negeri ini.

Kenyataan yang dibuat oleh Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Tarmizi Yahaya itu dilihat umpama 'meludah ke langit', namun akhirnya terpercik ke muka sendiri.

Berbalik kepada dakwaan 'tikam belakang' oleh Wan Rosdy terhadap PAS ketika bersama dalam Muafakat Nasional, saya bersetuju dengan apa yang dinyatakan itu. 

PAS Tikam Belakang BN Di PRK Chini

Saya melalui kejadian yang dinafikan oleh PAS itu. Malah saya adalah 'saksi hidup' yang melalui detik tersebut ketika menjadi 'calon bebas' di Pilihan Raya Kecil DUN Chini pada Julai 2020.

Waktu itu, PRK terbabit menjadi ujian pertama PAS dan UMNO membawa jenama 'Muafakat Nasional' di Pahang sebenarnya. 

Beberapa hari selepas saya umumkan hasrat tanding bebas, saya telah pun dihubungi oleh pemimpin PAS Chini. 

Mereka mahu bertemu saya secara sulit di sana. Ketika pertemuan saya dipelawa bertanding bebas dengan sokongan pengundi PAS. 

Mereka mendakwa, ada lebih enam ribu undi yang boleh diberikan kepada saya, asalkan bersetuju dengan syarat perjanjian. 

Tiada siapa yang tahu pertemuan sulit yang diadakan kerana ia dikawal dengan baik oleh mereka. 

Saya ditawarkan bertanding bebas dan jika menang, perlu isytihar masuk PAS dan melepaskan DUN Chini untuk ditandingi oleh calon lain pada PRU-15. 

Maknanya saya bertanding hanya untuk tumbangkan UMNO BN disitu, kemudian perlu tinggalkan kerusi itu pada pilihan raya berikutnya untuk memberi laluan kepada calon mereka. 

Dua kali pertemuan diadakan. Saya bertanya kenapa perlu lawan UMNO sedangkan PAS bersama parti itu dalam Muafakat Nasional?. 

Mereka dakwa kecewa kerana Dato' Sri Najib Razak tidak memberi laluan PAS bertanding di situ, selepas calon BN yang ditampilkan tidak berkeliber dan ada isu serta masalah peribadi yang boleh menyebabkan BN kalah. 

Katanya, PAS ada calon popular dan berpendidikan tinggi yang boleh menambat hati pengundi. Ditambah lagi ketika itu ada desas-desus beberapa nama calon yang tidak dipilih oleh BN, akan membuat undi protes. 

Inilah yang berlaku ketika calon BN, Allahyarham Dato' Sri Wan Razali Wan Mahussin tewas lima undi pada PRU-10 pada 1999 dulu. 

Berasaskan kepada itu PAS mahu calon mereka dipilih, tambahan pula parti itu telah memenang BN di enam PRK sebelum itu termasuk menangkan MCA di PRK Parlimen Tanjung Piai. 

Malah kata mereka, BN sudah kuasai tiga DUN lain di Parlimen Pekan iaitu DUN Peramu Jaya, DUN Pulau Manis dan DUN Bebar. Sepatutnya berilah satu kerusi DUN untuk PAS bertanding sebagai semangat setiakawan dalam Muafakat Nasional. 

Jika BN ambil kerusi DUN Chini, maka pada PRU-15 di mana PAS akan bertanding?. Tak mungkin calon BN yang menang akan lepaskan kerusi bagi memberi laluan PAS sekiranya mereka berhadapan PRU-15 atas nama Muafakat Nasional. 

Justeru, mereka nampak 'CMK' layak jadi 'kambing hitam' PAS. Mereka tidak berani letak calon bebas dari kalangan ahli PAS kerana gusar rahsia pecah dan pasti menimbulkan kemarahan UMNO. 

Saya akhirnya bersetuju dan datang ke Chini pada malam pencalonan. Wakil PAS datang menjenguk saya di lokasi penginapan bagi memastikan saya tidak 'tarik diri' atau 'diculik' oleh pihak lawan. 

Mereka arahkan 'unit amal' kawal pergerakan saya sehinggalah ke pagi hari pencalonan. 

Awal pagi mereka sudah datang menjemput dan memastikan saya tidak 'hilang' atau 'undur diri'. 

Malah saya diiringi oleh dua buah kenderaan mereka 'unit amal' yang berpakaian biasa hingga ke pintu masuk pusat pencalonan. 

Satu kenderaan dihadapan dan satu lagi kenderaan dibelakang. Kereta saya ditengah-tengah bagi memastikan saya tidak membelok ke arah lain dan tiba di pusat pencalonan dengan selamat bersama pencadang dan penyokong. 

Selepas memastikan kenderaan saya masuk ke pusat pencalonan di IKBN Pekan, barulah mereka beredar. 

Kemudian mereka beberapa kali datang menjengok saya di tempat saya menginap bagi memastikan saya berada dalam keadaan selamat selepas disahkan sebagai 'calon bebas'.

Beberapa hari terawal, mereka terus berhubung dengan saya dan datang menjengok. Namun selepas pertemuan dengan Dato' Sri Najib Razak di Hotel Ancasa Royale Pekan, nada mereka berubah.

Saya tanya macam mana potensi menang? Mereka mula berubah dan dakwa pengundi muda PAS tiada masalah, tapi orang lama (saluran satu) ada masalah kata mereka. 

Saya tanya lagi, kenapa? Mereka kata selepas pertemuan dengan Dato' Najib ada arahan daripada Presiden dan Timbalan Presiden supaya semua ahli PAS perlu wala' arahan dan mengundi calon BN kerana Muafakat Nasional. 

Saya sungguh kecewa dan tidak dapat berbuat apa-apa bila PAS yang awalnya dilapor mahu mengundi saya tiba-tiba menarik balik sokongan kerana wala'.

Selepas itu, tiada lagi wakil mereka menghubungi saya dan membiarkan saya 'terkapar-kapar dalam kegelapan'. 

Akhirnya sah, keputusan PRK Chini saya tewas dengan hanya mendapat 137 undi. Segala janji manis PAS yang dibuat dalam pertemuan demi pertemuan dengan saya telah dikhianati mereka. 

Tapi, kali ini saya terpaksa dedahkan kerana apa yang berlaku jelas sekali PAS 'tikam belakang' UMNO, walhal ketika itu kerjasama Muafakat Nasional masih terlalu erat di Pahang sebenarnya. 

Sebab itu saya tak pelik bila Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Hj Wan Rosdy Wan Ismail mendakwa PAS sedemikian rupa hingga menyebabkan Muafakat Nasional (MN) akhirnya terkubur.

Dakwaan Tarmizi Yahaya bahawa Wan Rosdy berniat jahat dan cuba mencari populariti selepas imej sebagai Pengerusi UMNO Pahang tercalar teruk selepas PRU-15 lalu adalah 'dangkal' sama sekali. 

Malah dakwaan Tarmizi lagi, Wan Rosdy sedang menunjukkan dia seolah-olah masih lagi relevan, sedangkan prestasi UMNO Pahang diketuainya sangat teruk hingga kehilangan 17 kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) yang lalu,

Saya nak maklum, bahawa Wan Rosdy sekarang kekal sebagai Menteri Besar Pahang, dan menang jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti itu baru-baru ini. 

Kalau 'hilang populariti' sudah pasti beliau kalah dan tidak kekal sebagai Menteri Besar Pahang. 

Malah bagi saya, soal peruntukan dan sumbangan dari Menteri Besar tidak kira dalam bentuk barangan, ia tidak sepatutnya dimanipulasi seolah-olah PAS yang salurkan bantuan tersebut. 

Sebab itulah mereka tampal pelekat wakil rakyat PAS pada barangan agihan yang tertera gambar MB Pahang. 

PAS boleh menafikan apa saja, tapi bagi saya ia sama dengan 'sedekah PRU-15' lalu. Mereka juga menafikan, walhal semua pihak tahu kenapa anak-anak muda sokong Perikatan Nasional (PN)?

Jika tiada sedekah, tak mungkin BN tumbang hingga 17 DUN kepada PN. 

Nafi selagi boleh, tapi Allah lebih mengetahui. Kerana kuasa, apa sahaja boleh bagi PAS termasuk bersama Tun Dr Mahathir (Kes Memali, hina janggut Nabi) , Tan Sri Muhyiddin Yassin (PAS: Parti Ajaran Sesat) dan GERAKAN (bawa kes hudud ke Mahkamah Persekutuan). 

Banyak lagi pendedahan panas yang akan saya buat selepas ini. Moga ia memberi kesedaran kepada semua, tentang sikap PAS sekarang ini. 

Sumber: CucuMatKilau

video:



~CMK