Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Ketua Pemuda UMNO maafkan Adam Adli turunkan bendera, tapi ahli PH masih tidak maafkan Najib


KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pergerakan Pemuda UMNO sanggup berlapang dada melupakan 'permusuhan' lama dengan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim yang pernah tercetus sebelum ini.

Pemuda UMNO katanya pernah berdepan pengalaman tidak manis suatu ketika dahulu apabila Adam Adli yang kini Timbalan Menteri Belia dan Sukan menurunkan bendera bekas pemimpin UMNO.

Namun katanya, selepas ditakdirkan UMNO melalui Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bekerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan, api kemarahan itu sudah dipadamkan.


Pengalaman lalu, katanya dijadikan perangsang dan semangat untuk orang muda mengenepikan perbezaan, sekali gus memfokuskan kepada titik persamaan antara pelbagai parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

"Kita selalu cakap soal perbezaan tapi jarang sekali cakap apakah ada soal persamaan antara kita... tadi YB Kevin (Ketua Angkatan Muda Harapan, Dr Kelvin Yii Lee Wuen) kata ini kali pertama datang (Pusat Dagangan Dunia) dan rasakan ada keserasian.

"Pengalaman kita sebelum ini dengan Adam Adli, ...walaupun Adam Adli pernah datang ke kita turunkan bendera dan marahnya kita ketika itu.


"Rasa masa itu, (kalau) jumpa Adam Adli nak siat-siat mukanya tapi inilah kehebatan yang direncanakan Allah, bila kita bersama Adam Adli (sekarang) hilang rasa marah tengok beliau," katanya.

Pada Disember 2011, Adam Adli menurunkan bendera memaparkan gambar Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu Perdana Menteri di ibu pejabat UMNO.

Pada masa sama, Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, menggariskan tiga perkara utama untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan iaitu saling menghormati, memahami dan mempercayai antara satu sama lain.

Beliau berkata, orang muda perlu menunjukkan gaya politik baharu dengan melupakan segala sengketa yang lalu kerana masa depan negara bergantung kepada generasi kini.

"Orang muda sekalian, inilah masa kita mencipta sejarah politik baharu, hari ini kita kena tunjuk pada rakyat di luar sana bahawa orang muda dalam Kerajaan Perpaduan tidak lagi cakap soal ekstremis atau 'kau orang sana, kita orang sini'.

"Namun sebaliknya, kita bercakap soal untuk mencari kesamarataan dan kesamaan demi negara kita," katanya.

Walaupun Dr Akmal memberi kemaafan secara terbuka kepada Adam Adli terhadap insiden yang lepas itu, namun rata-rata ahli-ahli Pakatan Harapan masih tidak memaafkan Najib. 

-BHonline