Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Isu Najib, tunggulah kenyataan dari Bahagian Undang-Undang JPM -Zahid


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata Lembaga Pengampunan akan membincangkan permohonan kes Najib Razak pada tarikh yang sesuai.

“Pada 28 April lalu, sebagaimana kita tahu agenda pengampunan tak dimasukkan kerana Lembaga Pengampunan memikirkan bahawa akan ada waktu paling sesuai untuk memasukan agenda itu dan kita tunggulah sebarang kenyataan dan perkembangan daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri yang menjadi sekretariat kepada Lembaga Pengampunan ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri timbalan perdana menteri di Seri Satria, Putrajaya.

Terdahulu, Zahid yang juga timbalan perdana menteri ditanya perkembangan selanjutnya selepas Lembaga Pengampunan tidak membincangkan permohonan memohon bekas perdana menteri Najib diampunkan ketika bersidang pada 28 April lalu.


"Itu adalah tanggungjawab kami (untuk memohon pengampunan) sebagai sebuah parti yang pernah beliau (Najib) ketuai dan tentu ini adalah pendirian kita untuk dihormati oleh pihak lain terutama rakan dalam komponen Kerajaan Perpaduan," katanya lagi.

Pada 17 April lalu, Majlis Tertinggi Umno sebulat suara memutuskan untuk memohon pengampunan penuh terhadap kesalahan bekas perdana menteri itu.

Kemudian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata Umno tidak lagi terlibat selepas menghantar memorandum pengampunan Najib itu, dan keputusan itu kini terserah kepada Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, dilaporkan petisyen pengampunan terhadap Najib tidak dibentangkan kepada Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 28 April lalu.

Bahagian hal ehwal undang-undang Jabatan Perdana Menteri, serta sekretariat lembaga itu dikatakan akan mengemukakan permohonan pengampunan Najib.

Mesyuarat Lembaga Pengampunan itu bermula jam 11 pagi dan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Sidang hari ini tidak membincangkan petisyen Najib kerana kes sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atasnya kerana menyeleweng dana SRC International, baharu sahaja difailkan.

"Petisyen yang difailkan beliau perlu mengikut giliran. Persidangan yang berlangsung hari ini hanya membincangkan kes-kes terdahulu yang diterima lebih awal oleh urus setia Lembaga Pengampunan," kata sumber seperti dipetik BH Online.

Pada 31 Mac, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, dalam keputusan majoriti 4-1, menolak permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan terhadap kes rasuah SRC International.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli mempengerusikan panel lima hakim yang turut dianggotai hakim Mahkamah Persekutuan Rhodzariah Bujang, Nordin Hassan dan Vernon Ong Lam Kiat serta Hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais.

Berdasarkan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan, kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan terhad kepada kesalahan yang dibicarakan atau dilakukan di Wilayah Persekutuan - Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Pengampunan bagi kesalahan yang dilakukan atau dibicarakan di negeri-negeri lain berada di tangan Raja-Raja Melayu di setiap negeri, masing-masing.

Yang di-Pertuan Agong akan memberikan pengampunan atas nasihat Lembaga Pengampunan.

video: