Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Tuntutan saman Tun M, PM Anwar minta beri masa


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon agar diberikan masa tambahan untuk menjawab surat tuntutan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Surat tuntutan itu sepatutnya dijawab dalam tempoh tujuh hari bermula 27 Mac lalu.

Dr. Mahathir menuntut Anwar menarik semula kenyataan fitnah dibuat Perdana Menteri itu pada Kongres Nasional Khas PKR 2023, 18 Mac lalu yang mendakwa bekas Perdana Menteri itu membolot hasil kekayaan untuk dirinya dan keluarga sepanjang perkhidmatannya.


Menurut kenyataan media daripada firma guaman, Tetuan Law Practice of Rafique yang mewakili Dr. Mahathir, permohonan itu diterima daripada Tetuan Thomas Philip yang dilantik Anwar.

“Kami telah menerima pemakluman dari Tetuan Thomas Phillip peguamcara yang dilantik oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Mereka memohon masa sehingga Isnin, 17 April 2023 untuk menyediakan jawapan kepada Notis Tuntutan Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad bertarikh 27 Mac 2023.

“Anak guam (Dr. Mahathir) kami tiada halangan kepada permintaan tersebut,”ujar kenyataan media itu.

Media sebelum ini melaporkan Dr. Mahathir menuntut penjelasan saripada Anwar tentang tuduhan-tuduhan yang dibuat terhadapnya pada kongres itu.

Walaupun Anwar tidak menyebut nama Dr. Mahathir tetapi berdasarkan laporan akhbar, orang ramai faham tuduhan itu dilemparkan kepada dirinya.

“Anwar menuduh saya ada berbilion ringgit, agih kepada keluarga, anak, saya adalah scoundrel (penyangak) dan ini memberi gambaran buruk kepada diri saya.

“Ini adalah fitnah melainkan dia boleh tunjuk bukti bahawa saya dapat berbilion ringgit dan melarikan duit ke luar negara serta tidak bayar cukai.

“Banyak tuduhan dalam ucapan ini. Jika dahulu dia cakap masa tidak jadi Perdana Menteri tidak apa, tetapi sekarang beliau Perdana Menteri. Jadi, beliau tidak boleh buat tuduhan tanpa bukti jelas,” katanya dalam sidang akhbar baru-baru ini.

Dr. Mahathir berkata, fitnah yang dilemparkan itu amat teruk seolah-olah memberi gambaran beliau mencuri duit seperti yang dilaporkan media.

Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata, rakyat khususnya orang Melayu tidak perlu lagi diperbodohkan dengan kenyataan pemimpin tertentu yang mendakwa memperjuangkan hak kaum berkenaan, namun dalam masa sama membolot kekayaan.

“Ada orang sekarang selepas 22 tahun campur 22 bulan pegang kuasa, mengeluh Melayu hilang segala-galanya, hilang harta, hilang saham.

“Bagaimana tak hilang kalau kamu bolot untuk kamu, untuk keluarga kamu dan anak-anak kamu. Sekarang hilang kuasa, bicara soal rakyat,” kata Anwar. 

KLIK SINI: TEMPAH PAKEJ PERCUTIAN JIMAT SEKARANG



– UTUSAN