Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Tempah bilik hotel untuk main game bola


MELAKA – Sepasang kekasih memberikan alasan bermain permainan bola selepas dicekup berkhalwat di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah di sini, kelmarin.

Pasangan berusia 23 tahun itu dicekup kira-kira pukul 2.30 pagi oleh sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam operasi cegah jenayah syariah.

Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, pasangan itu antara enam individu berusia 19 hingga 23 tahun yang ditahan dalam operasi bermula pukul 11 malam sehingga 4 pagi.


“Sepasang kekasih memberikan alasan mereka hanya bermain permainan bola ketika dicekup di dalam sebuah bilik hotel.

“Pasangan itu ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen pernikahan dan mereka mendakwa adalah saudara jauh,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Tambahnya, sepasang lagi kekasih yang dicekup merupakan penuntut universiti dan mendakwa datang dari Johor ke Melaka semata-mata bagi meraikan hari jadi sebelum mendaftar masuk di sebuah hotel.

Jelasnya, kesemua pasangan itu ditahan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana berkurung mendatangkan syak.

Mengulas lanjut Che Sukri berkata, tangkapan itu merupakan hasil maklumat yang diterima daripada orang awam dan ahli Rakan Setiaku JAIM (Raseim).

“Kami sangat berterima kasih atas perkongsian maklumat dan mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai Raseim bagi membantu pencegahan, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang Syariah.

“Mereka yang ditahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM3,000 atau di penjara selama maksimum 24 bulan atau kedua-duanya sekali, manakala pelaku wanita berdepan denda maksimum RM2,000 atau penjara tempoh sama atau kedua-duanya sekali,” katanya. 

– KOSMO! ONLINE