Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Ali Puteh janji lunas hutang RM60,000 Norhidayah sebelum Raya


CYBERJAYA: Selepas permohonan bayaran ansuran ditolak, pelawak, Ali Puteh akan menjelaskan bayaran RM60,000 kepada balu Allahyarham Abam Bocey, Siti Norhidayah Mohd Ali sebelum Aidilfitri ini.

"Dari awal saya mohon untuk bayar secara ansuran, tetapi ditolak. Jadi, saya akan usahakan untuk bayar serentak dengan penuh seperti yang diminta. Insya-Allah, sebelum Aidilfitri ini saya akan selesaikan.

"Apa nak buat, saya tak boleh nak menidakkan sebab ini kerja Tuhan. Tak mengapa, saya bincang dengan isteri, kami akan usahakan apa yang termampu biarpun terpaksa bergadai.

"Saya pun sudah hubungi peguam saya semalam (kelmarin), dan rasanya hari ini (semalam) surat pun sudah dihantar. Insya-Allah, sebelum Aidilfitri selesai," katanya kepada BH Online.


Ali ditemui ketika rakaman program Melodi Raya di Luxury Garden Hall, semalam.

Pada 18 Februari tahun lalu, Mahkamah Sesyen memerintahkan Ali atau nama sebenarnya, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan dan tiga ahli keluarganya membayar RM60,000 kepada Siti Norhidayah kerana mengeluarkan kata-kata mengaibkan wanita itu di Instagram (IG), dua tahun lalu.

Ali turut tidak menafikan dia mempunyai kekangan untuk membayar jumlah sebesar memandangkan sudah lama tidak menerima tawaran kerja seni.

"Memang tawaran kerja tidak seperti sebelum arwah Abam meninggal dunia, rasanya sudah lebih kurang enam bulan saya tiada 'job'. Sekarang saya berniaga dalam media sosial. Saya gunakan platform apa yang ada untuk cari duit.

"Jadi, saya gunakan apa yang saya ada untuk selesaikan bayaran balu Abam. Saya kesal sebab saya bukan penjenayah, di mana saya digari dan dimasukkan dalam penjara, sebaliknya ini hanyalah urusan keluarga yang tidak membabitkan jenayah.

"Saya pelik sampai begini kerjaya saya terganggu. Saya merasakan ia tak adil, tetapi nak buat macam mana, saya harap bila bayaran selesai, isu ini tidak berpanjangan," katanya.

Sementara itu, mengenai rumah arwah Abam yang dituntut Siti Norhidayah, Ali berkata, dia tidak boleh menyerahkannya kerana rumah itu adalah rumah pusaka arwah ibunya.

Justeru, kata Ali, pihaknya akan membayar saman untuk mengelakkan rumah berkenaan disita.

"Sebenarnya, ada perselisihan faham mengenai rumah berkenaan. Ia adalah rumah pusaka arwah ibu, tetapi banyak pula peguam bersuara.

"Saya juga sudah menghubungi peguam balu Abam dan mereka minta saya menjawabnya di mahkamah. Tetapi, saya malas nak teruskan di mahkamah lagi.

"Jadi, kami tolak tepi perkara itu sebab mereka tidak tahu apa terjadi dengan keluarga kami. Dan selepas berbincang dengan kakak dan adik susulan rumah pusaka disita, kami akan sediakan bayaran saman secepat mungkin. Insya-Allah rumah itu akan selamat.

"Kalau selepas bayar masih mahukan rumah arwah ibu, tidak tahulah. Kita sudah bayar, dia nak apa lagi?

"Tetapi, kami juga pelik bukannya sita harta saya, sebaliknya harta arwah ibu," katanya.

-Bharian