Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Zahid gagal dapatkan semula pasport

 


KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat untuk mendapatkan semula pasport antarabangsanya secara kekal bagi menjalankan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Ketika memutuskan demikian, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa semua individu adalah sama rata di sisi undang-undang.

Menurutnya, mahkamah tidak memberi kelebihan atau keistimewaan mengikut status golongan masyarakat sebaliknya meletakkan undang-undang di tahap teratas.

“Bagaimanapun, mahkamah mengambil maklum bahawa beliau selaku Timbalan Perdana Menteri dan menteri, mempunyai tugas rasmi untuk dilaksanakan.

“Tugas-tugas ini tidak boleh bertindih dengan kewajipannya untuk hadir ke mahkamah bagi prosiding kes yang dijalankan di mahkamah,” katanya.

Oleh itu beliau berkata, mahkamah membenarkan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ini membuat permohonan pelepasan (sementara) untuk membuat permohonan pasport diplomatik.

Sequerah berkata, selepas urusan berkenaan selesai, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dikehendaki memulangkan semula pasport kepada mahkamah.


Pada 26 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan, Ahmad Zahid Hamidi memohon untuk mendapatkan semula pasport antarabangsanya secara kekal bagi menjalankan tugas rasminya.

Pasport itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas beliau didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi, yang kini di peringkat pembelaan.

Menerusi afidavit sokongan permohonan itu, Ahmad Zahid, 70, berkata, beliau mempunyai beberapa kekangan untuk menjalankan tugas seperti menteri lain kerana tidak mempunyai akses kepada pasport tersebut.

-Sinar Harian