Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

MB Pahang bertanding Naib Presiden UMNO


MENAWARKAN DIRI MENGISI JAWATAN NAIB PRESIDEN UMNO

Hari ini saya telah menawarkan diri untuk bertanding bagi mengisi jawatan Naib Presiden UMNO.

Hasrat ini diterjemahkan dengan menghantar borang pencalonan ke Ibu Pejabat UMNO Malaysia di WTC, Kuala Lumpur, pada jam 3 petang tadi.

Saya insaf dan sedar bahawa kedudukan, imej dan prestasi UMNO semakin merosot di mata rakyat terutama selepas PRU-15.

Atas kesedaran itu, saya berhasrat membantu serta mencurahkan khidmat bakti kepada parti sekali gus mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti terbesar orang Melayu ini.


Mudah-mudahan bersandarkan kepada usaha, doa dan harapan, ianya mampu untuk melakukan sesuatu demi kelangsungan perjuangan parti. 

Saya memohon akar umbi UMNO untuk menilai pengalaman dan sumbangan yang telah saya berikan kepada parti selama ini, khususnya ketika mencetuskan kemenangan pertama parti di PRK Parlimen Cameron Highlands, selepas PRU-14. 

Kebangkitan di Cameron Highlands ini kemudiannya diteruskan di PRK-PRK lain termasuklah di Semenyih, Rantau, Tanjung Piai, Kimanis, Chini dan Slim River.

UMNO Pahang banyak membantu parti ketika 22 bulan pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan serta membantu kemenangan parti dalam Pilihan Raya Negeri di Sabah, Melaka dan Johor.

Terbaru, UMNO Pahang berjaya bangkit dengan pantas selepas PRU-15, dengan mencipta kemenangan di DUN Tioman yang menjadi benteng terakhir parti ketika mana tsunami politik melanda negara, walaupun  ramai yang menjangkakan BN akan tewas teruk seperti mana yang berlaku di Padang Serai.

Malah, pada PRU-15, UMNO Pahang berupaya mempertahankan 17 kerusi DUN yang merupakan bukti keupayaan dan kemampuan UMNO Pahang meskipun tsunami melanda negara.

Ekoran daripada kejayaan-kejayaan ini serta hasil perbincangan bersama rakan-rakan perjuangan, mereka telah meminta saya untuk meneruskan khidmat bakti dan berkongsi formula kemenangan ini kepada parti dengan cara yang lebih bermakna iaitu melalui jawatan Naib Presiden.

Insya Allah, berbekalkan semangat dan iltizam ini serta dengan segala pengalaman yang ada, saya beriltizam dan bertekad untuk membantu kepimpinan parti terutamanya Presiden dan Timbalan Presiden bagi memastikan UMNO kembali bangkit memenangi hati rakyat. 

Bersatu, Bersetia, Berkhidmat.

Wan Rosdy Bin Wan Ismail

Pautan asal: KLIK SINI