Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kes Najib: Zaid dakwa Sithambaram fitnah firma guamannya


PETALING JAYA: Firma guaman yang bertindak sebagai peguamcara seketika bagi bekas perdana menteri, Najib Razak dalam rayuan kes rasuah SRC International, mahu pendakwaraya ad hoc, V Sithambaram menjelaskan kenyataannya terhadap mereka di mahkamah yang mempunyai “fakta tidak tepat” dan “tidak benar sama sekali”.

Pada Rabu, Sithambaram memberitahu panel Mahkamah Persekutuan yang mendengar permohonan Najib untuk menyemak semula kesnya bahawa “peguamcara terdahulu mengambil kes itu bagi tujuan semata-mata untuk memohon penangguhan.”

“Kenyataan itu tidak benar dan amat dikesali,” kata firma Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners dalam surat kepada Mahkamah Persekutuan, pada Khamis. Salinan surat itu juga dihantar kepada Sithambaram.

“(Sithambaram) tidak mempunyai keterangan bagi menjustifikasi kenyataan dibuat di mahkamah,” kata surat itu selain menyatakan ia adalah “fitnah” terhadap peguam firma terbabit yang bertindak sebagai peguambela dan peguamcara dan sebagai pegawai di mahkamah.

“Lebih-lebih lagi, pendakwa raya tidak pernah berhubung mengenai kedudukan sebenar kami sebelum melakukan kenyataan memfitnah,” kata kandungan surat itu yang dilihat FMT.

Walaupun pelantikan firma itu serentak ketika Najib melantik Hisyam Teh Poh Teik mengetuai pasukan pembelaan, firma itu menegaskan dua pelantikan berkenaan tidak berkait.

“Hisyam Teh tidak menerima arahan daripada kami, dan bukan sebahagian pihak kami,” kata kandungan surat berkenaan.

Bagaimanapun, mereka bekerjasama menyediakan permohonan bagi pendengaran Najib bagi mengemukakan keterangan baharu, yang mana Mahkamah Persekutuan menolaknya, pada 16 Ogos.


Apabila mahkamah menolak permohonan Hisyam bagi menangguhkan rayuan pada 16 Ogos, dan dua hari kemudian, Hisyam memohon untuk menarik diri sebagai peguambela.

“Yang arif hakim Mahkamah Persekutuan tidak mengarah atau berhubung dengan (peguam firma) Zaid Ibrahim, Liew Teck Huat atau Rueben Mathiavaranam sama ada mereka akan membuat hujahan bagi pihak peguam Hisyam Teh,” kata surat ditandatangani bersama tiga peguam terbabit.

“Firma kami dilepaskan oleh Najib pada hari berikutnya (dan) pembabitan kami berakhir.”

Pada 28 Jul 2020, Najib disabitkan bersalah oleh hakim Nazlan Ghazali, yang merupakan hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, atas kesalahan salah guna kuasa, pengubahan wang, dan pecah amanah jenayah melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Najib merayu kepada Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan pada Disember 2021.

Pada 25 Jul tahun lalu, Najib melepaskan ketua pasukan pembelaan, Shafee Abdullah dan peguamcara Shafee & Co. Mereka kemudian masing-masing digantikan Hisyam dan firma Zaid.

Selepas menolak permohonan Hisyam menangguhkan pendengaran, Mahkamah Persekutuan terus menyambung pendengaran dan menolak rayuan akhir Najib, pada 23 Ogos.

Najib kemudian dihantar ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman 12 tahun penjara.

Bekas perdana menteri itu memfailkan usul memohon menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan tahun lalu atas alasan pendengaran rayuan melanggar prinsip keadilan asasi, termasuk hak Najib mendapat perbicaraan adil dan mendapatkan peguam.

Pendengaran usul masih berlangsung di hadapan panel lima hakim dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli.

Turut bersidang hakim Vernon Ong, Rhodzariah Bujang, Nordin Hassan dan Abu Bakar Jais.

-FMT