Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

BEKU AKAUN: Wang diterima Bersatu diklasifikasi sebagai rasuah atau suapan


KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan membekukan akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurutnya, pembekuan akaun itu bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan berhubung salah laku yang didakwa dilakukan pemimpin parti tersebut.

Jelasnya, ia juga bagi menyiasat beberapa sumbangan yang ditafsir sebagai suapan atau rasuah melibatkan parti tersebut.

"Kita membekukan bagi membolehkan siasatan dijalankan yang kita klasifikasikan wang diterima secara rasuah atau ditafsir sebagai suapan.

"Pembekuan itu dibuat sehingga siasatan selesai," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.


Difahamkan, pembekuan akaun Bersatu itu ada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap dana kerajaan RM92.5 billion yang didakwa diseleweng oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik COVID-19.

Disember lalu, SPRM mengesahkan sudah menerima butiran berhubung pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan pada 2020 dan 2021 berhubung pengurusan COVID-19 daripada Kementerian Kewangan.

SPRM dalam kenyataan berkata, fokus siasatan kini adalah terarah kepada RM92.5 bilion membabitkan dana kerajaan daripada nilai dakwaan penyelewengan wang perbelanjaan negara yang dianggar hampir RM600 bilion.

-Awani