Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

'Anggota Kabinet dilarang beri gaji jika lantik ahli keluarga' -Anwar


PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, semua anggota Kabinet dilarang memberi gaji atau ganjaran daripada peruntukan kerajaan kepada ahli keluarga, jika mahu melantik mereka sebagai penasihat atau pegawai masing-masing.

Perdana Menteri juga menegaskan, akan memastikan tiada sebarang pemberian kontrak bernilai jutaan ringgit kepada ahli keluarga kepada mana-mana anggota pentadbirannya sepanjang pemerintahan Kerajaan Perpaduan.

Beliau mengambil maklum kritikan orang ramai terhadapnya, susulan pelantikan anaknya, Nurul Izzah, sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri, namun Anwar memberi jaminan pemberian kontrak kepada ahli keluarga tidak akan berlaku di bawah pentadbirannya.

"Tentunya saya mengambil pendirian tegas terhadap mereka yang menganugerahkan kontrak bernilai ratusan juta kepada anak, menantu ketika mereka memerintah. Kini, mereka pula mahu bercakap soal tadbir urus baik.

"Namun, saya hormati pandangan rakyat yang secara ikhlas bimbang jika kedudukan disalah guna untuk memperkayakan anggota keluarga mereka.

"Saya beri jaminan ini tidak akan berlaku di bawah pentadbiran saya. Mereka (anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan) tidak boleh berbuat demikian.

"Jika kamu bercakap soal pemberian gaji dan ganjaran, Nurul Izzah tidak mengambil sebarang elaun dan beliau memiliki pengalaman dan kepakaran," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan terhadapnya susulan pelantikan Nurul Izzah sebagai seorang daripada penasihat kanannya, selain apa yang boleh dilakukan bagi menghalang anggota pentadbiran lain menyalahgunakan kedudukan bagi memanfaatkan ahli keluarga masing-masing.

Sebelum ini, media melaporkan, Nurul Izzah, yang juga Naib Presiden PKR, dilantik sebagai penasihat kanan bagi ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri berkuat kuasa 3 Januari lalu.

Perdana Menteri kemudian menjelaskan, Nurul Izzah tidak akan menerima sebarang elaun dan beliau sendiri mempelawa anaknya, yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu untuk membantunya sebagai penasihat di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.


Mengulas lanjut, Anwar turut memberi jaminan, Nurul Izzah tidak akan menggunakan kedudukannya sebagai penasihat kanan kepada Perdana Menteri untuk mengayakan dirinya.

"Tidak ada langsung kemungkinan untuk beliau menggunakan kedudukannya bagi mempengaruhi proses dan keputusan pemberian tender atau kontrak.

"Ya, saya perlukan khidmatnya untuk membantu saya, namun kedudukannya hanya untuk melindungi dan melaksanakan agenda tata kelola dan mengatasi rasuah dalam sistem," katanya.

video: