Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Malaysia edar sejuta Al-Quran ke seluruh dunia, respon terhadap Paludan


PUTRAJAYA - Malaysia akan mengeluarkan satu juta al-Quran untuk diedarkan segera di seluruh dunia sebagai tindakan balas terhadap insiden membakar naskah al-Quran di Sweden, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menegaskan bahawa Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ahli politik pelampau kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan membakar naskhah al-Quran di Sweden baru-baru ini, Anwar berkata, ikhtiar yang akan dilaksanakan Yayasan Restu itu adalah cara paling berfaedah untuk menjawab kebiadaban yang dilakukan terhadap kitab suci itu.

"Saya setuju supaya cara paling berfaedah menjawab semua kerja-kerja gila dan biadab (membakar al-Quran) ini ialah untuk teruskan usaha yang telah dimulakan dan bertekad dalam masa singkat untuk cetak dan edar satu juta al-Quran ke seluruh dunia.

"(Ia akan) disusuli dengan beberapa program ke arah penghayatan dan pemahaman al-Quran dengan mesej dengan risalah jelas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Festival Kesenian al-Quran Sejagat Restu di sini hari ini.

Yayasan Restu terkenal dengan penghasilan mushaf al-Quran dan penerbitan berkaitan al-Quran dengan reka bentuk eksklusif.

Anwar berkata, tindakan mengedarkan naskah al-Quran itu juga akan dirujuk dengan negara-negara Islam lain untuk penyelarasan.


Paludan, ketua parti pelampau kanan Denmark Stram Kurs, dibenarkan membakar Al-Quran pada Sabtu lepas di luar Kedutaan Turkiye di Stockholm dan insiden itu mencetuskan kemarahan dunia Islam.

Terdahulu, Anwar meluangkan masa kira-kira 30 minit melawat kilang percetakan al-Quran kedua paling besar di dunia yang terletak di Nasyrul Quran di sini.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kerajaan berjumlah RM2 juta kepada Nasyrul Quran.

 - Bernama