Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Dakwaan ditipu, didera bekerja di Kemboja hanyalah rekaan semata-mata -Polis


SEPANG – Kisah penderitaan ramai mangsa kes sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja rupa-rupanya didapati bukan asli, tetapi cerita sedih yang sengaja direka sendiri.

Perkara itu didedahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan hasil lawatan ke Kemboja sejak Selasa lalu yang berakhir hari ini.

Malahan ujarnya, ada mangsa terbabit setelah diselamatkan dan dihantar pulang ke tanah air kemudian dikesan pergi balik ke negara itu untuk kembali bekerja sebagai ‘scammer’.

“Saya pun amat terkejut kerana hasil siasatan pihak Kemboja sendiri mendapati mangsa sebetulnya bukan pun kes pemerdagangan manusia,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mengiringi lima mangsa diselamatkan kerajaan Kemboja yang berusia dari 16 tahun hingga 42 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Uniknya, mereka berjaya dibebaskan daripada depoh tahanan imigresen di sana dalam masa cuma kurang 24 jam berbanding tempoh sebenar paling minimum lebih satu bulan.

Ia hasil perbincangan beliau bersama-sama pihak polis dan imigresen di negara itu yang juga disertai oleh Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Datuk Eldeen Husaini Mohd. Hashim.

Mengulas lanjut, Abd. Jalil berkata, hasil pertemuan mesra itu menyaksikan setakat semalam, 116 mangsa berjaya diselamatkan dengan tinggal 29 orang masih terkandas di sana.

“Walau bagaimanapun, kita berasa ralat kerana pihak Kemboja mengakui kecewa apabila menjelaskan dakwaan konon ada mangsa diseksa sebagai amat tidak berasas,” katanya.

Dalam nada kesal, beliau mendedahkan senario individu itu setelah diselamatkan kemudian memberitahu kisah sebenar mereka bukanlah menjadi mangsa jenayah penipuan kerja.

Sebaliknya ada yang berhutang amat banyak ekoran bermain judi di pusat kasino di sana selain ada mahu diselamatkan kerana tidak mampu membayar hutang kepada ‘ah long’.

Ujarnya, ada yang memang didapati bekerja sebagai ‘scammer’ di sana, tetapi tidak dapat mencapai sasaran jualan yang ditetapkan dan mereka sebenarnya tidak pernah diseksa.


Begitu juga tambah Abd. Jalil, ada mangsa itu enggan tinggal di asrama pekerja, namun menetap di pelbagai hotel di Kemboja dan kemudian tidak dapat membayar bil dikenakan.

Justeru, kerajaan Kemboja menyifatkan laporan tular segelintir media di Malaysia yang lebih memperbesarkan isu mangsa kononnya diseksa sebagai tidak tepat dan mengelirukan.

“Secara jujur, pihak sana hairan kerana rakyat negara itu tidak sabar mahu kerja di negara kita yang lebih baik tetapi pelik ada pula warga Malaysia hendak kerja di sana,” katanya. 

– KOSMO! ONLINE