Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Bukan sahaja individu, UMNO akan lakukan pembersihan besar-besaran pada Jumaat


Putrajaya: Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan akan ada pembersihan besar-besaran terhadap mereka yang mensabotaj parti dan calon pada pilihan raya umum lalu.

Beliau berkata, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) esok akan memutuskan perkara itu.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya sama ada mesyuarat MKT esok akan menentukan nasib bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin.

"Tunggulah apabila MKT bermesyuarat, untuk dia (Khairy) secara individu tidak penting.

"Saya kata dalam Perhimpunan Agung (Umno) baru-baru ini, kita akan lakukan pembersihan secara besar-besaran termasuk mereka yang mensabotaj parti dan calon parti pada Pilihan Raya Umum lalu dan mungkin termasuk orang yang menembak kaki sendiri ketika pilihan raya diadakan.

"Bila besar-besaran itu maknanya adalah (pembersihan), mana yang belum terasa Insya-Allah esok malam akan terasa," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan bersama Exco- Exco Luar Bandar (MEXCLUB) di sini, hari ini.

Ditanya sama ada keputusan itu dibuat esok, Ahmad Zahid meminta media untuk datang beramai-ramai bagi mengetahui senarai mereka yang terbabit.

"Tidak boleh beritahu awal, kalau strategi dikongsi dengan wartawan, tidak lagi jadi strategi, saya harus embargo maklumat itu sehingga waktunya," katanya.

Difahamkan mesyuarat MKT Umno esok akan menentukan status keahlian Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu sebelum ini secara terbuka 'mengkritik' beberapa pemimpin Umno, selain lantang bersuara supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti dipertandingkan bagi memastikan amalan demokrasi dalam parti tidak terkubur.

Khairy yang tewas bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Parlimen Sungai Buloh, November lalu, secara terbuka turut mahu 'membersihkan' Umno jika menang di kerusi itu sebelum ini.


Malah Khairy juga menarik perhatian apabila mendakwa terdapat 'perwakilan import' ketika proses pengundian usul tambahan tiada pertandingan Presiden dan Timbalan Presiden pada Persidangan Agung Umno 2022 baru-baru ini yang mana ia dinafikan oleh pimpinan parti berkenaan.

Hari ini Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan Umno akan memutuskan tarikh pemilihan parti, termasuk bagi jawatan tertingginya pada mesyuarat MKT Umno, esok.

Beliau berkata, ia membabitkan pemilihan parti di peringkat cawangan, selain bahagian yang dijangka diadakan serentak di 191 bahagian seluruh negara, termasuk untuk memilih pucuk pimpinan tertingginya.

-Metro