Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

1MDB: Saksi mengaku gagal kendali akaun peribadi Najib


KUALA LUMPUR: Bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping mengakui bahawa tindakannya berurusan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low ketika mengendalikan akaun peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah satu kegagalan dalam menjalankan tugasnya.

Menurut saksi pendakwaan ke-41 itu, dia tidak pernah berhubung terus dengan bekas Ahli Parlimen Pekan itu sebaliknya berurusan dengan Jho Low bagi mendapatkan pengesahan transaksi keluar masuk wang berjumlah jutaan ringgit dan kadar tukaran wang asing yang dipersetujui.

Bagaimanapun ketika disoal oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah adalah kegagalan tersebut menjadi punca saksi itu dipecat daripada bank berkenaan, Ging Ping tidak memberikan jawapan yang jelas dan sekadar menjawab: “Ada surat pemecatan tetapi tiada surat tunjuk sebab.”

Saksi berkenaan juga menjawab pemecatan tersebut adalah berkaitan dengan akaun Najib.


Saksi itu berkata demikian dalam perbicaraan kes Najib, 70, yang sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Terdahulu, Ging Ping memberitahu bahawa dia berurusan terus dengan Jho Low berkenaan akaun Najib kerana lelaki berkenaan yang memulakan pembukaan akaun bank peribadi Najib.

Saksi itu juga bersetuju bahawa tiada sebarang arahan bertulis daripada Najib kepada Ging Ping untuk berurusan dengan Jho Low bagi perkara-perkara berkaitan akaun tersebut.

Selain itu, Ging Ping juga bersetuju tidak pernah memaklumkan Najib mengenai transaksi wang berjumlah AS$800 juta yang masuk ke akaun peribadinya.

Muhammad Shafee: Adakah anda tidak memaklumkan kepada pelanggan anda (Najib) pada bila-bila masa dengan berkata, “anda tahu Encik PM, saya tidak selesa dengan jumlah ini, ia kelihatan tidak betul”.

Ging Ping: Saya tidak memaklumkannya. Saya tidak fikir bank ada berbuat begitu.

Muhammad Shafee: Bank anda tidak memaklumkan Najib bahawa ada apa-apa yang tidak kena?

Ging Ping: Tidak.

Menurut prosiding sebelum ni, pihak pembelaan melalui surat oleh kerabat diraja Arab Saudi yang juga bekas Gabenor Provinsi Madinah, Abdulaziz bin Majid Al Saud menyatakan bahawa wang AS$800 juta itu adalah hadiah sebagai menghargai peranan bekas Perdana Menteri itu selaku pemimpin Islam moden.

Melalui surat bertarikh 1 Mac 2013, Abdulaziz menyatakan wang tersebut adalah daripada akaun peribadinya melalui akaun syarikat Tanore Finance Corp.

Laporan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) sebelum ini menyatakan Blackstone adalah syarikat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, manakala Tanore dikawal ahli perniagaan Eric Tan Kim Loong yang juga sekutu Jho Low.

Perbicaraan yang didengar oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Rayuan bersambung Isnin ini. 

– UTUSAN