Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Warganet mahu program PLKN dikembalikan semula


PETALING JAYA: Lima tahun selepas Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dimansuhkan pada 2018 oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), ia kembali diperkatakan warganet supaya program memperkasa jati diri belia itu dihidupkan semula.

Bagaimanapun, majoriti warga maya mahu modul program itu dikaji semula agar bersesuaian dengan pendekatan ketika ini, selain menerapkan ilmu agama bagi memantapkan sahsiah dan rohani generasi muda.

“Lepasan SPM diwajibkan masuk PLKN selama tiga bulan sementara tunggu keputusan keluar dan beri sedikit elaun…modul kena ubah, pendekatan pun kena ubah,” kata Rahman Jalil di Facebook.

“Kena wujudkan semula bagi siasah disiplin jati diri cuma pendekatan program boleh diubah bersesuaian masa kini. Pendekatan agama lebihkan, kekuatan mental dan fizikal perlu diadakan,” balas Azrel Mahmat yang meminta kerajaan merujuk Korea Selatan yang masih mewajibkan latihan ketenteraan terhadap semua anak muda mereka.

Terdapat juga warganet mencadangkan supaya kuota kemasukan bagi program itu diberikan sama rata membabitkan pelajar sekolah daripada semua kaum.

Selain cadangan menghidupkan semula PLKN, terdapat juga pendapat yang mahu belia diwajibkan menyertai askar wataniah – pasukan simpanan Tentera Darat Malaysia.

“Daripada PLKN, lebih baik wataniah terus…cara disiplin yang lebih mantap,” kata Aiman Kimie.

Ikhwan Firdaus yang turut bersetuju berkata belia perlu diserapkan bagi tempoh satu hingga dua tahun bawah latihan ketenteraan sebenar negara agar mampu membentuk jati diri dan semangat patriotik yang sejati.

“Kem tentera dah ada, tentera kita boleh jadi pelatih,” balas Syahmee Asmaa.

Tidak kurang juga ada yang berpendapat program itu tidak perlu buat masa ini memandangkan ekonomi negara masih tidak menentu.


“Kena fikir bersesuaian tak dengan keadaan ekonomi sekarang, akan menelan belanja besar mungkin lepas ekonomi dan sihat atau fikir program alternatif yang lebih kurang sama tetapi murah berbanding PLKN,” kata Naz Ideham.

Terdahulu, Pemuda Umno memuat naik status di Facebook meminta Menteri Pertahanan Mohamad Hasan meneliti semula program PLKN yang mula diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional pada Dis 2003.

Pada Nov 2020, Menteri Kanan (Keselamatan) ketika itu Ismail Sabri Yaakob bercadang melaksanakan semua PLKN. Namun ia tidak dilaksanakan sehingga kini.

-FMT