Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Jual saham Menara KL, tiga individu telah dipanggil SPRM



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan mereka kini sedang menyiasat dakwaan penjualan saham mencurigakan hak milik pengurusan Menara Kuala Lumpur (Menara KL).

Menurut satu laporan oleh Awani, Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan memaklumkan, tiga orang saksi telah dipanggil setakat ini.

Selain itu, SPRM turut mendapatkan beberapa dokumen daripada pihak-pihak berkaitan untuk diteliti.

"SPRM akan menyiasat sama ada wujudnya elemen rasuah dalam penjualan 100 peratus saham Telekom Malaysia (TM) di dalam Syarikat Menara KL Sdn Bhd (MKLSB) kepada Hydroshoppe Sdn Bhd (HSB) pada Oktober 2022," kata kenyataan itu.


Tegas SPRM, siasatan akan dijalankan secara terperinci dan profesional daripada semua sudut berkaitan isu tersebut.

Isu pengambilalihan pengurusan Menara KL tular di media sosial apabila orang ramai mempersoalkan keputusan TM, melalui anak syarikatnya, MKLSB memindahkan pemilikan penuh mereka kepada syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd pada Oktober lalu.

Sebelum ini, bekas menteri komunikasi dan multimedia Annuar Musa berkata beliau tidak terbabit dalam keputusan Telekom untuk menjual anak syarikatnya yang menguruskan Menara KL.

Bekas ahli Parlimen Ketereh itu berkata urus niaga itu membabitkan syarikat disenaraikan dan bukan kerajaan.

“Ia tidak ada kaitan dengan menteri komunikasi,” kata Annuar.

“Pegi tanya TM. Jika syarikat itu memperoleh untung RM25 juta, kenapa mereka tidak mahu mengekalkannya dan menjualnya?,” katanya.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim berkata bekas menteri telekomunikasi dan multimedia tidak bertanggungjawab dengan kenyataan yang diberikannya berhubung isu itu.

“Sepatutnya beliau (Annuar) sedar tentang perkara sensitif ini kerana ia membabitkan aset ikonik Malaysia.

“Beliau tidak boleh cuci tangan saja daripada perkara ini begitu saja kerana ia berlaku ketika beliau menjadi menteri. Beliau patut bekerjasama berkenaan perkara ini,” katanya kepada The Malaysian Insight. – 29 Disember, 2022.