Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Tular surat BN kepada Agong, setuju sokong Anwar


PUTRAJAYA - Sepucuk surat tular di media sosial mendakwa 30 ahli Parlimen BN menyokong sepenuhnya pembentukan kerajaan gabungan parti politik Pakatan Harapan (PH) dan menamakan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Surat berkenaan yang bertarikh 22 November dan ditandatangani Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan perkara itu dipersetujui di dalam sidang mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada Selasa.

"Patik (Zahid) selaku Pengerusi BN memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa parti bersama-sama dengan 30 orang ahli Dewan Rakyat memberikan sepenuh kepercayaan dan sokongan kepada Ahli Parlimen Tambun, Anwar untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10," kata Ahmad Zahid menerusi surat berkenaan.

Surat yang dikongsikan oleh bekas Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa di Facebooknya pada Rabu itu didakwa dihantar oleh Ahmad Zahid kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung situasi politik tanah air.

Menurut Ahmad Zahid di dalam surat berkenaan, beliau telah mendapat mandat daripada 29 ahli Parlimen BN yang lain untuk berunding, memutuskan dan mempersetujui suatu gabungan di antara BN dan mana-mana parti politik untuk pembentukan kerajaan.

"Patik ingin juga memaklumkan apa-apa dokumen bertulis sama ada dalam bentuk surat atau akuan oleh mana-mana 30 ahli Parlimen BN yang menamakan ahli Parlimen lain sebagai Perdana Menteri ke-10 selain di atas (Anwar) adalah tidak sah, terpakai dan tidak patut dipertimbangkan," katanya.


Dalam pada itu Annuar menggesa satu laporan polis patut dibuat terhadap Ahmad Zahid yang didakwa cuba menipu Yang di-Pertuan Agong.

"Pengerusi BN mendakwa dan menyembah maklum kepada Agong bahawa beliau telah mempengerusikan mesyuarat BN dan memutuskan semua 30 ahli Parlimen bersetuju menyokong Anwar sebagai PM.

"Kita sebaliknya di maklumkan BN memutuskan tidak menyokong mana-mana calon. Siapakah yang berbohong di sini?" soalnya.






-Sinar