Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Lantikan Zahid sebagai TPM dapat kukuhkan kerajaan hingga tamat tempoh


Melantik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri akan mengukuhkan lagi kerajaan perpaduan, dan bukan menjejaskan kestabilan pentadbiran itu.

Malah, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Puad Zarkashi berkata Zahid adalah "kunci utama" kepada pembentukan kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Sebab itu melantik Zahid akan mengukuhkan lagi kerajaan perpaduan hingga tamat tempoh. Zahid komited kepada kerajaan perpaduan. Dia kunci utama.

“Menolak Zahid akan mengancam kestabilan Umno. 130 Ketua Bahagian bantah Zahid letak jawatan. Itu signal penting. Anwar perlu kerajaan stabil untuk membawa perubahan,” kata Puad dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Dia mengulas kenyataan Tokoh Wartawan Negara, A Kadir Jasin yang mendakwa bahawa Anwar akan melakukan harakiri jika dia memilih Zahid sebagai timbalan perdana menteri atau melantiknya ke mana-mana jawatan dalam kerajaannya.

'Beri Anwar masa'

Puad seterusnya menggesa Anwar diberi masa yang secukupnya untuk mentadbir negara.

“Cukup lima tahun beri balik mandat kepada rakyat untuk memilih. Tiada Langkah Sheraton atau tebuk atap. Jalan terus,” katanya.

Sebaliknya menurut Puad, dalang di sebalik naratif "kluster mahkamah Umno" ialah bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

“Persepsi kluster mahkamah adalah konspirasi tertinggi tajaan Mahathir untuk bunuh Umno. Pertuduhan selektif dan puluhan pertuduhan bertujuan membina persepsi buruk kepada Umno.

“Ini yang mahu diteruskan oleh Kadir Jasin. Matlamat Kadir ialah kerajaan perpaduan jangan stabil. Dia dan Mahathir mahu terus bunuh Umno walaupun Mahathir hilang deposit di Langkawi,” katanya.


Negara sedang menunggu pembentukan kabinet baru, seminggu selepas Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Dengan tiada parti mencapai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, Anwar terpaksa bergantung kepada sokongan BN untuk menjadi perdana menteri.

Bagaimanapun, pelbagai pihak menentang saranan agar Zahid dilantik sebagai timbalan perdana menteri, berikutan pertuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang belum selesai terhadapnya.