Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Pendedahan operasi Mossad, wartawan disiasat selama 3 jam setengah


Pengarang Kumpulan NST Farrah Naz Karim disiasat kira-kira tiga jam setengah susulan laporan yang mendakwa agensi risikan Israel Mossad terlibat dalam penculikan warga Palestin di Kuala Lumpur.

Malaysiakini difahamkan dia keluar daripada ibu pejabat polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, pada jam 4.40 petang tadi,selepas memasuki bangunan itu kira-kira jam satu tengah hari.

Dalam kenyataan selepas siasatan, dia berkata polis antaranya ingin tahu bagaimana NST memperoleh maklumat terperinci berkaitan penculikan itu.

“Saya jelaskan perkara itu sebahagian daripada kewartawanan penyiasatan untuk menghasilkan laporan terperinci, walaupun ia mungkin tidak selesa bagi sesetengah pihak,” katanya.  

"Kami bersumpah untuk melaksanakan tugas kami tanpa rasa takut atau pilih kasih dan inilah yang berlaku dalam siri pendedahan yang diterbitkan,"  katanya lagi menerusi kenyataan kepada Malaysiakini.


NST awal pagi semalam melaporkan Mossad menjalankan operasi menculik warga Palestin di Malaysia menggunakan rekrut rakyat Malaysia.

Laporan itu bagaimanapun menyebut mangsa yang dikaitkan dengan Hamas dan sayap bersenjatanya Briged Izz ad-Din al-Qassam itu diselamatkan oleh polis Malaysia.

Polis setakat ini masih belum dapat mengesahkan dakwaan penglibatan Mossad dan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi.

Seramai 11 suspek penculikan itu telah didakwa di mahkamah.