Tujuh utas jam mewah Richard Mille, tiada kaitan dengan dana 1MDB
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa beberapa utas jam tangan yang disita dari kediaman bekas Perdana Menteri Najib Razak adalah hadiah kepada beliau.
Peguam Tania Scivetti, yang mewakili Najib, berhujah bahawa tujuh utas jam tangan jenama Richard Mille adalah hadiah kepada Najib dan tiada perkaitan antara jam tangan yang disita itu dengan dana 1MDB.
Beliau berkata berdasarkan afidavit pegawai penyiasat 1MDB iaitu Superintenden Foo Wei Min, beliau mengesahkan bahawa beberapa utas jam tangan itu adalah hadiah namun tiada bukti konklusif.
"Oleh itu, kami meminta mahkamah menolak permohonan ini dan jam tangan yang disita dikembalikan segera kepada Datuk Seri Najib," katanya.
Peguam utama Najib iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pula berkata satu daripada jam tangan itu dibeli oleh Global Oriented Bhd di bawah seorang individu bernama 'Datuk Francis' sebagaimana yang dibuktikan daripada cek yang dikeluarkan oleh Taman Equine (M) Sdn Bhd manakala seutas lagi dibeli serta dibayar oleh Datuk Desmond Lim dengan kad kredit.
"Seutas lagi jam tangan dibeli oleh 'Datuk Francis YTL' dan kaedah pembayaran adalah menggunakan cek yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat pembinaan iaitu Yeoh Tiong Lay Sdn Bhd," katanya.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan 14 Nov untuk keputusan.
Terdahulu, Harris Ong memaklumkan mahkamah bahawa seunit daripada 2,436 barang kemas terbabit telah dipulangkan kepada Global Royalty Trading SAL.
Peguam Datuk David Gurupatham, yang mewakili syarikat barang kemas Lubnan itu, berkata Jabatan Peguam Negara berpuas hati dengan representasi pihaknya sebelum ini berhubung tuntutan seutas rantai tangan emas putih bertatahkan berlian.
"Rantai tangan itu, yang disimpan di bilik kebal Bank Negara Malaysia, kini dikeluarkan dan menjadi hak milik simpanan syarikat. Oleh itu, kami menarik balik tuntutan di mahkamah," katanya.
Barangan yang disita oleh polis dari premis milik Obyu Holdings di Pavilion Residences pada Mei 2018 telah dikaitkan dengan skandal kewangan 1MDB. Pada 2019, pendakwaan telah memfailkan permohonan pelucuthakan bagi menyita barangan terbabit.
Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor adalah pihak ketiga yang ingin menuntut barang kemas serta jam tangan dalam permohonan pelucuthakan pendakwaan terhadap Obyu Holdings, yang dimiliki ahli perniagaan Tan Sri Bustari Yusof.
-- BERNAMA