Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

PH tolak Tun M jadi PM semula


KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak akan mendapat sokongan Pakatan Harapan (PH) untuk menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Tanpa menafikan sokongan masyarakat terhadapnya, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng ketika dihubungi Mingguan Malaysia berkata, pihaknya meraikan sebarang keputusan untuk memilih siapa calon Perdana Menteri selepas pilihan raya, namun, menegaskan PH sudah pasti tidak akan menyokong Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri buat kali ketiga.

"Saya rasa sukar untuk diterima kerana dulu kita sokong Tun kerana beliau calon PH, sekarang, beliau bukan calon PH lagi. Sewaktu Tun letak jawatan, beliau ada sampaikan kepada saya yang dia mahu jadi Perdana Menteri lain (bukan dari PH).


“Sama ada beliau ada sokongan atau tidak daripada masyarakat, itu kita raikan, tetapi sudah tentu bukan sokongan daripada PH,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sebelum ini dilaporkan tidak menerima mahupun menolak sama ada beliau mahu menjadi calon Perdana Menteri mewakili Gerakan Tanah Air (GTA) pada PRU15.

Katanya, beliau telah diminta banyak oleh pihak agar menjadi Perdana Menteri semula, namun tidak bersedia berhubung perkara itu buat masa kini.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan PH, Fahmi Fadzil turut mengulas yang perkara ini perlu dirujuk dari segi perlembagaannya kerana secara jelas, seorang Perdana Menteri haruslah mempunyai sokongan majoriti daripada ahli Dewan Rakyat.

Katanya, ia adalah perkara asas yang perlu dilepasi mana-mana wakil rakyat terlebih dahulu sebelum menjadi Perdana Menteri.

“Kita kena rujuk perlembagaan dengan jelas nyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong perlu melantik ahli Dewan Rakyat yang dipercayai ada sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat. Kita lihat senario selepas PRU15, parti mana yang mempunyai jumlah terbesar, parti itulah yang ada mempunyai langkah pertama untuk membentuk kerajaan, atau menamakan calon Perdana Menteri.

“Kita kena lihat komposisi parti yang menang, dan dari situ secara realistik calon Perdana Menteri itu akan dinamakan,” jelasnya.

 – UTUSAN