Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Pendakwaan Salah: Najib tarik balik saman terhadap kerajaan, kekalkan satu nama


Bekas perdana menteri Najib Razak menarik balik saman pendakwaan salah terhadap kerajaan Malaysia.

Dengan langkah itu, bekas peguam negara Tommy Thomas kini menjadi satu-satunya defendan dalam saman sivil itu.

Semasa prosiding mahkamah terbuka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini, peguam plaintif Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin memberitahu bahawa saman terhadap kerajaan ditarik balik

“(Saman terhadap) defendan kedua tidak diteruskan,” katanya kepada hakim Ahmad Bache.


Pada 26 Oktober 2021, ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), Najib menyaman Thomas dan kerajaan atas dakwaan membuat pendakwaan salah.

Najib mendakwa, berlaku pendakwaan salah dalam kes 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), dua kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram bawah Akta SPRM 2009.

Saman itu bagaimanapun tidak melibatkan SRC International Sdn Bhd, yang dia didapati bersalah menyeleweng dananya dan menyebabkannya merengkok 12 tahun dalam penjara.

Menurut salinan pernyataan tuntutan yang dilihat Malaysiakini, Najib berkata Thomas melakukan misfeasans dalam jawatan awam, penyalahgunaan proses dengan niat jahat dan cuai.

Sementara itu, Alan Gomez, peguam Thomas, tiada bantahan ketika hakim bertanya kepadanya.

Berdasarkan salinan notis yang difailkan semalam oleh tetuan  firm Raj, Ong & Yudistra, Najib menarik balik saman terhadap kerajaan tanpa kos.

Tiada alasan diberikan.

Semasa prosiding hari ini, Najib duduk di barisan depan di galeri awam bersama pegawai penjara.

Isterinya Rosmah Mansor duduk di kerusi belakangnya.