Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Puluhan wartawan teruja BNS tunjuk 5 kapal LCS, tiada barangan didakwa usang


LUMUT - Puluhan wartawan dan media teruja apabila dijemput oleh Boustead Naval Shipyard (BNS) pada Sabtu menunjukkan lima kapal tempur pesisir (LCS) yang kini dalam pembinaan dengan kapal pertama telah siap 60 peratus.

Menerusi satu lawatan bersama pengamal media, Ketua Pegawai Eksekutif BNS, Ir Azhar Jumaat berkata, kerja pembinaan ke atas kelima-lima LCS yang ditempatkan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut itu masih berjalan.

Pendedahan ini terus menyangkal segala tohmahan dan tuduhan yang dibuat oleh pelbagai pihak yang sebelum ini mendakwa projek ini adalah projek halimunan dan projek palsu yang kononnya menrugikan kewangan negara.

Menurutnya, kapal pertama telah menunjukkan perkembangan sehingga 60 peratus, kapal kedua (LCS 2) mencapai 48 peratus, LCS 3 (43 peratus), LCS 4 (36 peratus) dan LCS 5 (22 peratus).

"Lima kapal yang dalam pembinaan dengan pelbagai peringkat untuk disiapkan ini menandakan RM6 bilion yang dibelanjakan oleh kerajaan itu telah dibuktikan.

Azhar ketika menyampaikan taklimat kepada pengamal media yang hadir.

"Kapal pertama dengan pembinaan siap 60 peratus ini juga telah kami bentangkan kepada kabinet.

"Kami telah menetapkan landasan dan tahap keupayaan, jadi tolong beri kami peluang dan ruang untuk menunjukkan realitinya," katanya dalam sesi taklimat dan lawatan itu kepada 48 pengamal media yang hadir.

Dalam lawatan sekitar dua jam itu, media dibawa melihat sendiri perkembangan pembinaan LCS pertama dan meninjau gudang simpanan kapal BNS yang menempatkan perkakasan berkaitan projek LCS.

Azhar berkata, dengan kewujudan lima LCS itu diharap dapat memberi penjelasan sebenar kepada umum bahawa projek berkenaan bukanlah bersifat halimunan sepertimana disifatkan sesetengah pihak.

Katanya, BNS tidak akan sesekali mengelirukan Institusi Diraja dengan sesuatu pembinaan kapal yang tidak wujud.

"Ramai buat dakwaan (LCS) halimun, kapal dibuat daripada kayu malah Sultan Perak dikelirukan. Semua dakwaan ini tidak benar.

"Ini bukan kapal halimun, tetapi kapal metal sebenar bukan daripada kayu. Lebih penting ini bukan replika, ini kapal sebenar," katanya.


Barangan untuk Kapal LCS masih belum usang

Projek LCS mula mencuri tumpuan apabila Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) mendedahkan bahawa kira-kira RM6 bilion telah dibelanjakan, namun tidak ada satu kapal pun yang telah disiapkan.

Peralatan dan barangan yang disimpan di gudang Boustead Naval Shipyard (BNS) masih belum usang, menurut CEO syarikat itu, Azhar Jumaat.

Dia berkata demikian ketika menyangkal laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung projek kapal tempur pesisir (LCS), yang menyatakan 15 peratus daripada barangan bernilai RM1.7 bilion boleh dikira sudah usang.

Keadaan dalam kapal yang sudah 60% siap

Dia berkata demikian ketika lawatan media ke tapak pembinaan kapal LCS di Lumut, Perak hari ini.

"Perkara utama yang dibangkitkan dalam laporan PAC adalah 15 peratus barangan sistem (yang disimpan di BNS) sudah usang. Dari aspek gambarannya, ia tidak tepat seluruhnya.

"Ia dalam proses untuk menjadi usang, ke arah keadaan usang. Kenapa ia dalam keadaan begitu adalah kerana sebahagian barangan disimpan untuk tempoh lama yang memerlukan penjagaan secara berkala," katanya.

Katanya lagi, barangan tersebut boleh digunakan selama paling kurang 25 tahun dari sekarang dan sedia diangkut ke kapal.

Azhar juga berkata pihaknya perlu memesan dan menyimpan barangan lebih awal memandangkan ia memakan masa lama, misalnya tempoh 20 bulan diperlukan untuk enjin utama kapal yang diimport dari Jerman untuk sampai ke Malaysia.

Antara barangan yang disimpan adalah peralatan elektrik dan mekanikal, termasuk enjin kapal.

Namun, dia memberi jaminan BNS sedang berurusan dengan pelbagai OEM (Original Equipment Manufacturer) untuk mengadakan tinjauan terhadap keadaan barangan, termasuk kos tambahan yang mungkin diperlukan.

Dalam lawatan hari ini, Azhar membawa media melihat kemudahan simpanan di tapak pembinaan sebagai langkah ketelusan berhubung pembinaan LCS.

Media turut dibenarkan naik dan melihat sendiri kapal pertama iaitu LCS1, yang setakat April lalu sudah siap 60 peratus.

Dia memberitahu LCS2 pula sudah siap 48 peratus, disusuli dengan LCS3 (43 peratus), LCS4 (36 peratus) dan LCS5 (22 peratus). Pembinaan LCS6 pula belum bermula.

Kesemua lima kapal LCS dibina secara serentak dengan setiap kapal secara purata mengambil masa empat tahun, katanya lagi.

Katanya lagi, LCS1 memerlukan kira-kira dua tahun lagi untuk siap sepenuhnya.

Belanja RM6 bilion

Laporan PAC antara lain turut menyatakan peningkatan kos mencecah RM1.4 bilion dalam kontrak RM9 bilion yang diberikan kepada BNS pada 2011.

BNS mendapat kontrak tersebut menerusi rundingan terus dan setakat 2020, sudah RM6 bilion dibayar. Bagaimanapun, syarikat itu gagal menepati tarikh penyerahan pada 2019 seperti yang disasarkan.

Menurut kontrak, BNS sepatutnya sudah menyerahkan kapal pertama pada April 2019 dan dua buah lagi pada Februari dan Mac 2020.

Walaupun gagal menepati tarikh penyerahan yang ditetapkan, kabinet pada April 2021 setuju agar Boustead Group meneruskan projek itu dengan syarat-syarat yang perlu dipatuhi syarikat.

Difahamkan BNS "membuka pintunya" kepada media hari ini untuk menjelaskan sebarang keraguan berhubung perolehan kapal LCS.

Hari ini, Azhar menegaskan dana RM6 bilion yang diberikan kepada syarikat digunakan sepenuhnya oleh BNS, walaupun ada isu aliran tunai.

Sementara barangan bernilai RM1.7 bilion kini disimpan di gudang, Azhar memaklumkan barangan lain bernilai RM1.8 bilion telah diangkat ke kapal.

Namun, dia enggan menyatakan ke mana baki dana RM2.5 bilion dibelanjakan.

"Saya tak akan perincikan buat masa ini. Untuk saya beri maklumat berkenaan (barangan bernilai) RM1.8 bilion yang sudah dibawa ke kapal sudah cukup untuk anda melihat kira-kira RM3.5 bilion daripada RM6 bilion benar-benar digunakan untuk barangan kapal.

"Tentunya anda perlu faham yang anda perlu bayar untuk overhead dan pengurusan projek dan untuk kos insurans, elektrik, infrastruktur, pembinaan dan yang lain.

"RM2.5 bilion lagi digunakan untuk keperluan itu. Saya tak dapat beri perincian tentangnya, tapi anda perlu tahu yang ia penggunaan yang agak saksama dalam pecahan kos," katanya lagi.

Terdahulu, dia memberitahu media bahawa RM200 juta dibelanjakan untuk infrastruktur.

Pada 2019, projek LCS dihentikan ekoran masalah aliran tunai yang menyebabkan pembayaran tidak dibuat kepada OEM.

Hari ini, Azhar berkata pembinaan kapal tetap berjalan tanpa penglibatan OEM.

"Kerja-kerja yang boleh kami lakukan, kami boleh teruskan kerana kami tak boleh hentikan sepenuhnya," katanya.

Dia kemudian menambah pada masa ini BNS sedang mengadakan perbincangan dengan OEM dan kerajaan untuk langkah ke hadapan yang terbaik.

-MalaysiaKini

video: