Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Peguam Najib mohon Hakim Tengku Maimun tarik diri


PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memohon agar Tun Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada mendengar dan memutuskan rayuan akhirnya kerana bimbang Ketua Hakim Negara itu terpengaruh dengan sentimen negatif suaminya.

Menurut afidavit sokongan yang difailkan bersama-sama notis usul lewat malam tadi, Najib mengatakan pada 11 Mei 2018, seorang individu bernama Zamani Ibrahim telah membuat satu hantaran di Facebook peribadi miliknya yang mengkritik Ahli Parlimen Pekan itu.

Hantaran Facebook itu hanya diketahui Najib pada 17 Ogos lalu.

“Saya sesungguhnya percaya bahawa individu Zamani Ibrahim yang dinamakan di atas adalah suami kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang merupakan pengerusi panel hakim yang kini sedang mendengar rayuan akhir saya dalam kes SRC di Mahkamah Persekutuan.

“Oleh kerana beliau merupakan suami terhadap pengerusi panel hakim yang mendengar rayuan saya, adalah berkemungkinan beliau akan mempengaruhi pemikiran pengerusi terhadap tuduhan ke atas kebersalahan saya.

“Saya selanjutnya menyatakan bahawa oleh kerana sifat hubungan suami-isteri mereka, adalah berkemungkinan bahawa pemikiran pengerusi yang bijaksana mungkin telah terkesan tanpa disedari olehnya melalui sentimen-sentimen suami Yang Amat Arif Ketua Hakim terhadap saya,”ujar Najib dalam permohonannya itu.

Bekas Presiden UMNO itu juga menyatakan, sekiranya Hakim Tengku Maimun masih terus mengetuai panel hakim rayuan akhirnya, sebarang keputusan atau dapatan yang dibuat oleh Mahkamah akan menimbulkan keraguan di kalangan masyarakat.

“Pemerhati (juga) berpendapat bahawa keputusan-keputusan yang dibuat tercemar dengan bias (berat sebelah) dan pandangan awam terhadap kebebasan badan kehakiman akan diragui.

Sekiranya permohonan tersebut dibenarkan, Najib memohon agar satu panel hakim yang baharu dilantik bagi mendengar dan memutuskan ryauan akhirnya.


Turut dimohon ialah relif-relif lain yang difikirkan sesuai.

Untuk rekod, tarikh rayuan akhir Najib telah ditetapkan pada 29 April lalu dan pada ketika itu, anggota panel rayuan itu masih belum diketahui.

Pihak-pihak terlibat hanya mengetahui keanggotaan tersebut pada 15 Ogos lalu iaitu pada hari pertama pendengaran rayuan tersebut.

Pada ketika ini, panel berhenti seketika bagi membolehkan notis usul dan afidavit itu diekstrak daripada sistem pemfailan mahkamah sebelum pihak-pihak berhujah mengenai permohonan tersebut. 

–UTUSAN