Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Peguam Najib beri respon positif selepas selesai sesi mahkamah


PUTRAJAYA: Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak yang diketuai Hisyam Teh Poh Teik yakin dengan hujah pembelaan dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd. bagi mengemukakan bukti tambahan.

Ketika ditemui di lobi Istana Kehakiman di sini hari ini, beliau memaklumkan pihaknya telah beberapa kali meneliti hujahan pembelaan tersebut serta menjalankan kajian dengan teliti.

Hisyam yang dilantik sebagai peguam utama bekas Perdana Menteri itu turut yakin pasukan pembelaan akan mendapat apa yang diinginkan dalam prosiding esok.

“Kes akan bersambung esok sekitar pukul 9.30 pagi, kita akan habiskan (kemukakan hujahan permohonan) kemudian mahkamah yang akan tentukan sama ada terdapat merit dalam permohonan ini atau sebaliknya.

“Dan kami percaya dengan kebijaksanaan hakim yang mendengar rayuan ini,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan permohonan Najib meminda notis usul berhubung keterangan beberapa individu untuk dimasukkan dalam rayuan akhir SRC.

Antara bukti tambahan itu ialah keterangan lisan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Hussein berhubung siasatan skandal SRC.

Keterangan itu adalah sama ada beliau (pegawai penyiasat) tersebut menyedari peranan lalu dan pembabitan hakim dalam perbicaraan kes SRC, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Maybank Group.


Ia juga berkaitan pemberian pinjaman RM4.7 bilion Maybank kepada 1MDB bagi perolehan Tanjong Energy Berhad pada 2012.

Keputusan itu diputuskan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mewakili panel lima hakim yang bersidang hari ini.

Selain Hakim Tengku Maimun, panel turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.

- UTUSAN