Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Empat transaksi pindahkan dana Armada ke Maybank Syed Saddiq -Pegawai SPRM



KUALA LUMPUR: Seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau tidak menyiasat sumber pendapatan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum menjadi menteri, ketika mengendalikan kes pengubahan wang haram dihadapi Ahli Parlimen Muar itu.

Asbi Munip, 32, berkata ini kerana siasatannya hanya tertumpu kepada pemindahan wang RM100,000 daripada akaun Maybank Syed Saddiq ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) milik Syed Saddiq.

“Berdasarkan siasatan saya, YB Syed Saddiq telah melakukan dua pemindahan wang, masing-masing sebanyak RM50,000 pada 16 Jun dan 19 Jun 2018 ke dalam akaun ASB miliknya,” katanya semasa disoal peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq, pada perbicaraan bekas menteri belia dan sukan itu yang berdepan empat pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Disoal Gobind, adakah saksi itu mengetahui punca pendapatan anak guamnya sebelum menjadi menteri?, Asbi menjawab beliau mengetahui Syed Saddiq pernah menjadi tutor sambilan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Bagaimanapun, Asbi tidak mengingati bahawa Syed Saddiq pernah menjadi pensyarah debat bahasa Inggeris, jurulatih debat UIA dan kolumnis beberapa portal.

Gobind: Tuan Asbi tidak bertanya kepada YB Syed Saddiq? Ini soalan asas kepada kes AMLA (pengubahan wang haram).

Asbi: Saya hanya fokus kepada siasatan saya berhubung pemindahan wang.

Asbi kemudian bersetuju dengan peguam bahawa beliau tidak menyiasat sumber pendapatan Syed Saddiq sebelum menjadi menteri dalam menjalankan siasatan kes pengubahan wang haram.

Saksi pendakwaan ke-29 itu juga berkata beliau tidak menyiasat jumlah perbelanjaan yang dibiayai dahulu oleh Syed Saddiq untuk kempen pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ditanya Gobind, dalam pembelaan Syed Saddiq menyatakan bahawa wang RM120,000 adalah untuk menggantikan wang yang telah didahulukannya untuk kempen PRU14, Asbi menjawab, “Saya hanya menyiasat berhubung wang RM100,000”.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd Radzuan bertanyakan kepada saksi itu, bagaimana dia pastikan wang RM100,000 daripada akaun Maybank Syed Saddiq masuk ke dalam akaun ASB milik Syed Saddiq.

“Terdapat kemasukan wang berjumlah RM120,000 daripada akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise menerusi empat transaksi ke dalam akaun Maybank YB Syed Saddiq.

“Saya juga mengesahkan dengan pegawai ASB bahawa terdapat kemasukan wang berjumlah RM100,000 ke dalam akaun ASB YB Syed Saddiq, selain memastikan akaun Maybank itu adalah milik YB Syed Saddiq,” jawab Asbi.

Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.


Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahguna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri, dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya antara 8 dan 21 April 2018.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Abdul Hamid bersambung 22 Ogos ini.