PETALING JAYA: Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, tarikh sesuai untuk mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) ialah selepas penggal Parlimen tamat pada tahun depan.
Sekiranya menjadi perdana menteri, katanya, beliau tidak akan melayan desakan untuk mengadakan PRU lebih awal.
“Kalau saya perdana menteri, saya mahu sampai habis penggal Jun tahun hadapan,” katanya selepas menghadiri Sidang Nadi Rakyat yang turut dihadiri Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
PRU15 perlu diadakan selewat-lewatnya pertengahan September 2023, iaitu dalam tempoh 60 hari selepas penggal Parlimen kini terbubar secara automatik pada 16 Julai 2023.
Mengenai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan untuk tidak membubarkan Parlimen yang tamat 31 Julai lalu, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, terpulang kepada perdana menteri untuk melanjutkan atau tidak.
“MoU secara dasarnya tiada istilah tamat, hanya disebut tidak akan diadakan PRU sebelum Julai 2022, jadi selepas 31 Julai 2022 serah kepada perdana menteri nak lanjut atau tidak, tapi untuk MoU kita tak sebut bila ia tamat, cuma tarikh 31 Julai itu untuk Parlimen tidak dibubarkan.”
Pemimpin PH dipanggil polis
Mohamad berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan susulan 10 pemimpin PH dipanggil berkaitan himpunan membantah kenaikan harga barang di Kampung Baru semalam.
Katanya, beliau bersedia turun ke jalanan semula bagi menyuarakan bantahan terhadap kerajaan susulan kenaikan harga barang ketika ini, selain isu rasuah dan penyelewengan.
“Kalau perlu saya turun, memang saya akan turun ke jalan raya semula, sebab kerajaan sekarang tak dengar hujah-hujah kita.”
-FMT