TOKYO: Lelaki yang disyaki membunuh bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe, dengan pistol buatan sendiri dipercayai menghasilkan senjata itu dalam tempoh singkat selepas memperoleh bahan tersedia seperti kayu, paip logam.
Serangan itu menunjukkan bahawa keganasan senjata tidak boleh dielakkan walaupun di negara yang mempunyai undang-undang senjata yang ketat.
Pensyarah di Universiti Nihon dan pakar pengurusan krisis dan keganasan, Mitsuru Fukuda, berkata penghasilan senjata menggunakan mesin pencetak 3D dan menghasilkan bom boleh dipelajari menerusi internet.
“Ia boleh dihasilkan dalam dua hingga tiga hari selepas memperoleh bahan-bahan seperti paip,” katanya yang menganalisa gambar senjata yang digunakan dalam pembunuhan Abe.
Pengulas senjata api, Tetsuya Tsuda, berkata sesiapa dengan pengetahuan asas mengenai bagaimana pistol berfungsi boleh menghasilkannya dengan pengetahuan terhad.
Katanya, ia mungkin kurang dari setengah hari untuk menghasilkan senjata yang digunakan dalam serangan.
Media Jepun melaporkan, suspek memberitahu polis bahawa beliau melakukan carian dalam talian mengenai arahan untuk menghasilkan senjata api dan memesan bahan dan serbuk api di internet.
Senjata berukuran 40 dengan 20 sentimeter itu dihasilkan daripada bahan bahan seperti kayu dan logam.
Polis tidak menolak kemungkinan peluru itu juga dihasilkan dengan tangan, namun memaklumkan mereka masih menyiasat.
Penyiasat merampas barang dipercayai lima senjata buatan tangan dari rumah suspek.
“Kasar, namun boleh menyebabkan kematian, senjata seperti ini mudah dibuat,” menurut Pakar Perisikan Senjata berpangkalan di Australia, N R Jenzen-Jones,
Imej senjata menunjukkan terdapat wayar elektrikal melepasi penutup di hujung setiap paip.
Itu menunjuk kepada penggunaan mekanisme penembakan elektrik, kata Jenzen-Jones.
– REUTERS