Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

RUU Haramkan Rokok dan Vape kepada GEG undang kritikan


RUU Haramkan Rokok & Vape kepada Generasi End Game (GEG)

1. Minggu depan, YB Khairy Jamaluddin (KJ) akan bentangkan Rang Undang-Undang (RUU)bagi haramkan rokok dan vape untuk individu yang lahir pada dan selepas tahun 2007 (kini berumur 15 tahun dan kebawah). Individu2 yang terlibat ini digelar Generational End Game (GEG).

2. Penggubalan (RUU) ini dilihat sebagai satu tindakan popular yang dikatakan satu jalan pintas untuk menghalang generasi rakyat Malaysia di masa hadapan supaya tidak lagi menghisap rokok dan vape buat SELAMA-LAMANYA. 

3. Demi Allah, saya bukan perokok apatah lagi penghisap vape. Tapi untuk berlaku adil, saya TIDAK YAKIN  bahawa RUU ini dapat menghalang GEG dari tidak merokok dan vaping.  

4. Bagi saya, untuk mendidik rakyat supaya memilih cara hidup sihat bukanlah dengan cara 'kekerasan'.

5. Ya, memang baik jika tiada lagi perokok di atas muka bumi. Itu adalah impian bagi saya dan juga sesetengah kita. Tapi LARANGAN ini akan menimbulkan lebih banyak keburukan serta kekeliruan di kalangan rakyat yang sejak dari zaman dahulu sudah biasa menyedut tembakau dan nikotin. 

6. Ada persoalan. Jika Generasi Endgame ini sudah dewasa, adakah mereka dapat menghindari rokok dan vape jika mereka bekerja dengan syarikat yang turut menjual rokok dan Vape seperti 7E, Speedmart, KK, Vapeshop, mamak dan sebagainya? 

7. Mereka juga setiap hari akan terdedah dan terpengaruh dengan generasi sekarang yang masih dibenarkan untuk merokok dan vape samada di rumah, tempat awam seperti di kaki lima, restoran, warung mahupun kelab-kelab malam. 

8. Menurut KJ, mereka akan didenda sebanyak RM50 sekiranya didapati menyimpan dan menghisap rokok/vape. Tetapi adakah RUU ini akan berkesan jika denda yang hanya RM50 dikenakan? 

9. KJ juga berpendapat RUU ini dapat mengurangkan permintaan rokok dan vape di masa hadapan. Tetapi adakah ia semudah seperti yang dirancang? Ia amat sukar untuk dijawab, kerana beliau tidak mampu agak apa yang akan berlaku di masa hadapan. 

10. Ia ibarat seperti setiap hari mereka (GEG) lihat kita minum Pepsi, tetapi mereka dilarang minum. Sudah tentu perasaan ingin tahu mereka akan menjadi lebih kuat dan timbul perasaan mahu mencuba. 

11. Sudah pasti lagi beberapa tahun yang akan datang, GEG akan memberontak dan mempersoal tentang hak mereka seperti: 

"Kenapa kami tak boleh rokok? mereka yang tua boleh pula? Kalau nak haramkan, haramkan untuk semua orang..."

"Sepatutnya kami yg masih muda dibenarkan, bukan golongan tua yang lebih berisiko. Ini undang-undang yang kelakar dan tak cerdik.."

Dan macam-macam lagi persoalan akan diutarakan mereka di media sosial, live, wawancara dan sebagainya. Pening dibuatnya.

12. Bayangkan jika isu ini ditunggang pula oleh parti-parti politik tertentu yang pro liberal? Serabut.

13. Bayangkan pula jika permintaan rokok dan vape pada masa hadapan tetap juga meningkat? Sudah tentu usaha ini akan ditertawakan rakyat dan netizen pada waktu itu. Kerajaan dilihat hanya seperti membazirkan air yang dicurahkan ke daun keladi sahaja.

14. Mengenai VAPE pula. VAPE juga tak perlulah dilarang atau diharamkan. Suka atau tidak, ramai yang sudah berjaya berhenti merokok disebabkan wujudnya vape ini.

15. Tidak dinafikan vape juga DIDAKWA mempunyai kesan negatif terhadap kesihatan. Namun jika dilihat dari sudut kemudaratan, vape jauh lebih selamat dari rokok. Ia sepatutnya digunakan sebagai satu kaedah perokok tegar berhenti rokok selain kaedah seperti mQuit dan sebagainya. 


16. Menurut KJ lagi, bisnes vape yang ada sekarang tidak akan terus lenyap dan bankrap jika RUU ini diluluskan. Sebaliknya ini akan dikurangkan secara berperingkat-peringkat.

17. Maksudnya industri vape juga akan dilenyapkan secara berperingkat. 

18. Untuk pengetahuan semua, industri vape Malaysia adalah sangat besar sehingga ia amat dikenali di seluruh dunia. Untuk rekod, hasil industri vape di negara ini berjumlah sekitar RM2.27 bilion, dan ia mampu menggaji lebih 15,000 orang yang majoritinya anak muda.

19. Siapa usahawan vape ini? Industri ini tidak dimonopoli oleh kapitalis. Majoriti pengusaha vape adalah dari kalangan Bumiputera juga. Kalau larang vape, siapa yang akan terjejas? Fikirlah sendiri..

20. Apapun, jangan salah faham. Tujuan saya menulis ini bukanlah untuk menggalakkan dan membiarkan generasi akan datang terus hisap rokok dan vape. Tapi hanya untuk memberitahu keadaan dan hakikat yang sebenar bahawa isu mengharamkan rokok dan vape tidak perlulah ditangani dengan terlalu keras seperti perlaksanaan RUU ini.

21. Sekali lagi saya ulang. Untuk mendidik rakyat supaya memilih cara hidup sihat bukan dengan cara 'kekerasan'.

22. Kerajaan harus teruskan beri awareness (kesedaran) yang berterusan kepada rakyat mengenai bahaya merokok seperti kempen "Tak Nak Rokok". 

23. Pelbagaikan lagi idea-idea baru yang dapat menarik minat rakyat supaya berhenti merokok.   

24. Akhir sekali pada hemat saya, RUU yang bakal dibentangkan oleh YB Khairy Jamaluddin ini hanya akan mengakibatkan kritikan, kekecohan dan akan menjadi antara salah satu usaha yang sia-sia.

25. Tak perlu pun kajian yang mendalam, larangan ini sudah tentu akan memberi kesan negatif atau ‘back fire’ kepada Kerajaan dan juga parti BN yang diwakili YB Khairy jika tidak diteliti dengan betul.

Tun Carlos
30 Jul 2022