Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Terpalit kontroversi, PM digesa kaji semula lantikan Tajuddin sebagai Duta


Bekas ahli majlis kerja tertinggi (MKT) Umno, Tajuddin Abdul Rahman tidak layak untuk dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia dan disaran supaya berehat.

Exco Pemuda Umno, Muhamad Muqharabbin, berkata kerajaan sewajarnya mengkaji semula pemilihan Tajuddin sebagai duta kerana terpalit dengan pelbagai kontroversi yang boleh merosakkan imej negara.

Saya menghormati beliau sebagai orang lama dalam parti, tetapi tindak-tanduk dan sikap yang ditunjukkan membuktikan beliau tidak selayaknya memegang jawatan dalam MKT.

“Bahkan saya menyarankan agar beliau tidak perlu dilantik menjadi duta di Indonesia.

"Cukup-cukuplah memegang jawatan dalam parti dan juga kerajaan, berilah ruang dan peluang pemimpin lain pula untuk berkhidmat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, ramai lagi pemimpin lain atau bekas pegawai tinggi kerajaan yang lebih layak dan boleh dilantik sebagai duta Malaysia ke Indonesia.

Tajuddin menghangat politik negara apabila mendedahkan rancangan Umno kononnya menyokong Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri bagi menggantikan Muhyiddin Yassin.

Dalam sidang medianya kelmarin dia mendedahkan pakatan sulit itu diketuai Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Turut terbabit dalam pakatan itu ialah bekas perdana menteri Najib Razak.

Tajuddin turut menyerang Ahmad Zahid sebagai liabiliti kepada Umno dan tidak layak untuk memimpin parti bagi menghadapi PRU15.

Kenyataan Tajuddin itu dibuat selepas beberapa hari dia digugurkan daripada jawatan ahli MKT Umno oleh Ahmad Zahid.

Dalam pada itu, Muhamad Muqharabbin menyifatkan keputusan MKT Umno memecat Ahli Parlimen Pasir Salak itu adalah amat tepat.

“Jangan hanya kerana ingin menjaga hati kawan-kawan, nama parti dan imej negara terpalit sekali lagi dengan kenyataan-kenyataan yang tidak matang dan memalukan.

“Sebagai pemimpin kita sudah terikat dengan amanah dan janji, bila dibuka segala minit mesyuarat hanya kerana dilucutkan jawatan, itu hakikat menunjukkan Tajuddin adalah pemimpin yang tidak bertanggungjawab dan tidak amanah,” katanya.


Muhamad Muqharabbin, berkata Ahmad Zahid telah membuktikan kredibilitinya sehingga Umno kembali menerajui negara dengan pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, Ogos tahun lalu.

“Beliau (Ahmad Zahid) dikenakan tindakan mahkamah setelah menjadi presiden dan pada masa itu parti Umno ditekan sampai lumat di saat parti tiada kuasa.

“Walaupun presiden diheret ke Mahkamah tiap-tiap minggu, beliau dan barisan kepimpinannya telah berjaya (membawa parti) memenangi tujuh pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri termasuk Melaka dan Johor,” katanya lagi.

-Malaysiakini