Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Global Ikhwan kini tampil sebagai syarikat global, kikis imej sebagai sayap Al-Arqam


PETALING JAYA: Walaupun sering dikaitkan dengan gerakan Al-Arqam yang diharamkan kerajaan, Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISB) tampil gah sebagai syarikat Melayu-Islam antarabangsa yang melabur di 17 negara, tanpa sebarang pinjaman bank.

Dalam wawancara eksklusif dengan FMT, Ketua Pegawai Eksekutif, Lokman Hakim Pfordten berkata GISB sudah mengikis imejnya sebagai sayap perniagaan Al-Arqam dan fokus kepada mengukuhkan kedudukan sebagai syarikat antarabangsa.

Ketahanan GISB terbukti khususnya semasa pandemik Covid-19, di mana ia masih mengupah pekerja baharu dan meluaskan perniagaan ketika banyak syarikat lain bertindak sebaliknya.

Hari ini, GISB mempunyai 5,330 pekerja, termasuk 170 orang yang ditambah ketika ‘lockdown’ Covid-19 berkuatkuasa, kata Lokman.

Ketua Pegawai Eksekutif GISB, Lokman Hakim Pfordten.

“Walaupun (ada) PKP (perintah kawalan pergerakan), kita tak terbeban dengan ujian Allah ini, sebab kita (GISB) tak perlu fikir sebarang liabiliti yang kita tanggung, sebab (GISB) tak terlibat dengan mana-mana pinjaman (bank).

“Kita harap ini jadi sumber inspirasi kepada masyarakat, terutama bangsa Melayu. Jangan fikir apa kerajaan boleh bagi kita, fikir apa yang boleh kita bagi (sebagai jasa kepada) kerajaan,” kata beliau.

Setakat ini, GISB memiliki 18 anak syarikat yang menceburi tujuh sektor, iaitu pembangunan modal insan, pendidikan, perindustrian, media & perhubungan, penternakan & perladangan, perniagaan & perkilangan, serta pembangunan keluarga & remaja.

Selain Malaysia, antara 17 pasaran yang ditembusi GISB ialah Emiriah Arab Bersatu (UAE), Algeria, Tunisia, Bosnia, Maghribi, United Kingdom, Jordan, Jerman, Turki, serta China.

GISB, antara lain, memiliki 38 kedai serbaneka (GISB Mart), 63 bakeri (kedai roti dan kek) serta 120 restoran.

GISB mart


“Kita membangun secara organik. Untung dari kedai pertama, kita bina kedai kedua. Untung kedai kedua, kita bina kedai ketiga dan keempat dan seterusnya, tanpa (sebarang) pinjaman atau suntikan dana luar,” kata Lokman.

Ditanya mengenai jumlah keuntungan GISB, Lokman membayangkan pihaknya tidak taksub dengan aspek mengaut keuntungan semata-mata.

“Selalunya syarikat yang umumkan keuntungan tujuannya untuk buat pinjaman dengan bank atau cari rakan kongsi. Kita tak perlukan semua itu, jadi tak ada keperluan untuk kami umumkan keuntungan.

“Tapi keuntungan itu ada, kalau tak, macam mana kami bina perniagaan di luar negara,” katanya.

Mengenai Al-Arqam yang belum pudar daripada ingatan ramai, Lokman akur ada segmen masyarakat yang masih mahu mengaitkan GISB kepada gerakan itu yang dituduh kerajaan mengamalkan ajaran sesat.
Restoran Ikhwan Delight amat popular dan mempunyai cawangan di dalam serta luar negara

Restoran Ikhwan Delight amat popular dan mempunyai cawangan di dalam serta luar negara.
Pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad, adalah pengerusi Global Ikhwan Sdn Bhd yang kemudiannya ditukar nama kepada GISB Holdings, sebelum meninggal dunia pada 2010.

Tegas Lokman, GISB amat jelas dalam soal pendirian agama.

“Kita pegang iktikad yang sama di Malaysia dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan dari sudut syariatnya, kita bermazhab Syafie seperti mana yang ada di tanah air.

“Walaupun ada sebahagian daripada tenaga kerja kita bekas Al-Arqam…(tapi) Al-Arqam sudah jadi sejarah dan (kita) tak ada kaitan lagi dengan apa-apa yang telah jadi sejarah,” tegas Lokman.

Pada 1994, Majlis Fatwa Kebangsaan mengisytiharkan gerakan Al-Arqam sebagai haram selepas menemui bukti yang merujuk pengasas Tarekat Muhammadiah, Sheikh al-Suhaimi, sebagai Imam Mahdi yang ghaib buat seketika, sebelum kembali untuk memimpin umat Islam.

Tarekat Muhammadiah adalah wirid yang diamalkan dan menjadi pegangan ahli Al-Arqam ketika itu. Ashaari ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1994 dan dibebaskan 10 tahun kemudian, sebelum meninggal dunia pada 13 Mei 2010.

Ketika menerajui Al-Arqam, Ashaari pernah dilapor meramalkan beliau akan menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri ketika itu.

Lokman memberitahu FMT, beliau dan timnya di GISB tidak menyimpan sebarang niat menceburi politik.

“Sehingga sekarang, sampai bila-bila pun, kita tak ada minat untuk terlibat dengan politik. Tapi kita berkawan dengan sesiapa sahaja, tidak kira golongan mana,” katanya.

-=FMT