Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Nik Faisal minta pindahkan USD5 juta, dedah Tim Leissner


PETALING JAYA: Mahkamah di Amerika Syarikat (AS) diberitahu bahawa bekas ketua pegawai pelaburan 1MDB, Nik Faisal Ariff Kamil meminta bekas eksekutif Goldman Sachs, Tim Leissner memindahkan USD5 juta ke sebuah akaun Citibank.

Tetapi tidak jelas siapa pemilik akaun Citibank tersebut.

Menurut dokumen mahkamah yang dilihat oleh FMT, Leissner, saksi utama dalam perbicaraan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng, mengesahkan beliau diminta memindahkan wang daripada Capital Place, sebuah syarikat di British Virgin Islands dengan isterinya, Judy Chan adalah pengarahnya.

Beliau berkaitan demikian ketika menjawab soalan pendakwa raya mengenai e-mel yang diterimanya daripada Nik Faisal, yang juga pengarah urusan SRC International, iaitu anak syarikat 1MDB.

“Menurutnya: Tolong hantar segera daripada Capital Place dan (ia) tidak boleh mempunyai tarikh nilai lewat daripada 31 Oktober USD5 juta,” kata pendakwa raya.

Leissner kemudian mengesahkan ini bermakna wang itu perlu dihantar sebelum 31 Okt.

Ditanya jika e-mel itu turut memberi arahan untuk memindahkan wang itu melalui Citibank, Leissner berkata: “Ya, betul.”

Leissner turut mengesahkan beliau bertanyakan isterinya jika pemindahan itu boleh dilakukan.


Keterangan Leissner akan menimbulkan persoalan sama ada Nik Faisal menerima dana berkaitan 1MDB.

Pada 2019, pihak pendakwaan yang mendakwa Najib Razak dalam kes SRC International berhujah tiada wang yang dimasukkan ke akaun syarikat itu disalurkan ke akaun Nik Faisal.

Akan tetapi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada November lalu berkata, ia mendapatkan semula USD864,813 dana berkaitan 1MDB dari Singapura yang dimiliki Nik Faisal.

Nik Faisal masih diburu pihak berkuasa selepas meninggalkan negara pada 7 Mei 2018, dua hari sebelum pilihan raya umum ke-14 diadakan.

Beliau dikehendaki oleh pihak berkuasa atas dakwaan pengubahan wang dan pecah amanah, dengan notis merah Interpol sudah dikeluarkan terhadapnya.


-FMT