Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Setelah tukar PM, Malaysia tertinggi di ASEAN dalam indeks Pemulihan Covid-19



13 JAN : Malaysia memperolehi 66.5 mata dalam Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei Asia yang merupakan mata tertinggi bagi negara ASEAN dan menduduki tangga ke-13 daripada 122 negara atau wilayah di seluruh dunia.

Sehubungan dengan pencapaian itu, Perdana Menteri baru, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengucapkan tahniah kepada semua rakyat Malaysia yang terlibat dalam pengurusan jangkitan, pelaksanaan pemberian vaksin dan mobiliti sosial sepanjang pandemik COVID-19 melanda negara.

“Tahniah Keluarga Malaysia! Pencapaian ini adalah hasil dari kerja keras dan semangat penyatuan setiap ahli Keluarga Malaysia dalam menempuhi pandemik COVID-19 ini bersama.

“Alhamdulillah, Malaysia memperoleh 66.5 mata dalam Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei Asia yang tertinggi bagi negara ASEAN dan tangga ke-13 daripada 122 negara atau wilayah.

“Justeru, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh Keluarga Malaysia termasuk wira-wira kita iaitu frontliners yang bertungkus lumus memelihara rakyat dan negara daripada ancaman wabak COVID-19 ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasminya hari ini.

Kata Ismail Sabri lagi, Malaysia kini berada dalam tempoh pemulihan negara daripada musuh dunia ini iaitu COVID-19 setelah menempuh pelbagai cabaran dan dugaan, namun semangat sebagai sebuah Keluarga Malaysia sentiasa utuh demi mencapai kemakmuran bersama.

“Walaupun kita mencapai indeks yang terbaik, namun kita jangan sesekali alpa. Senantiasa menjaga keselamatan diri, keluarga dan masyarakat di sekeliling kita,” ujarnya.

Berdasarkan Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei setakat 31 Dis 2021, Malaysia berada di tangga ke-13 dengan 66.5 mata manakala Bahrain menduduki tempat teratas dengan 82 mata diikuti Chile (76.5 mata) dan Taiwan (75.5 mata).

Kedudukan lebih tinggi sesebuah negara atau wilayah dalam indeks itu menunjukkan ia semakin hampir kepada pemulihan dengan jumlah kes COVID-19 yang rendah, kadar vaksinasi lebih baik dan langkah penjarakan sosial yang kurang ketat

-BNBBC