Penyanyi Aishah dapat gelaran Datuk



PETALING JAYA – Penyanyi Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin, 57, dikurniakan Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang membawa gelaran Datuk.

Bagaimanapun, bagi menghormati protokol pihak istana, Aishah yang cukup dikenali menerusi lagu malar hijau, Janji Manismu enggan terlalu mencanang tentang perkara tersebut sehinggalah istiadat pengurniaan darjah kebesaran  berlangsung pada 22 Januari, Sabtu depan.

“Semestinya, saya berasa sangat terharu dengan pengiktirafan ini selepas lebih 35 tahun berkecimpung dalam dunia seni.

“Sebenarnya, pihak protokol istana minta saya elakkan buat apa-apa komen sehingga habis istiadat pengurniaan. Selepas 22 Januari nanti, insya-Allah boleh cerita panjang dan ditemu bual,” katanya menerusi satu pesanan WhatsApp kepada Kosmo! Online.

Terdahulu, Aishah dianugerahkan pingat DBNS sempena Hari Keputeraan ke-74 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, semalam.

Selain penyanyi kelahiran Jempol, Negeri Sembilan itu, antara nama lain turut dikurniakan DBNS adalah Ahli Dewan Negara, Senator Dr. Ahmad Azam Hamzah, Pengarah Urusan & Rakan Operasi McDonalds Malaysia, Azmir Jaafar dan Pakar Perunding Kardiologi, Dr. Asri Abdullah Ramaiah.

Aishah sebelum ini pernah aktif dalam dunia politik sekitar 2013 dan bertanding di Parlimen Jempol, Negeri Sebilan mewakili parti PAS.

Nama Aishah mula mengharum dalam dunia seni sebagai penyanyi pada awal tahun 1980-an bersama kumpulan, The Fan Club dari New Zealand.

Bersama kumpulan berkenaan, Aishah meluncurkan album Sensation dan mencipta sejarah tersendiri sebagai penyanyi wanita pertama Malaysia pernah menduduki carta Billboard Hot 100 menerusi lagu Don’t Make Me Fall Alone pada tahun 1990.

Pada 2017, Aishah melakukan kemunculan semula dalam dunia seni tanah air apabila menjuarai program realiti, Gegar Vaganza musim keempat. 

– K! ONLINE

Join our Telegram Channel
Telegram


Penyanyi Aishah dapat gelaran Datuk Penyanyi Aishah dapat gelaran Datuk Reviewed by Tun Carlos on January 15, 2022 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.