Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

KKM siasat kesan dos penggalak ke atas bapa Mufti Perlis


BAHAGIAN Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah menghubungi hospital berkaitan susulan kenyataan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang mempersoalkan kesan dos penggalak Covid-19 terhadap penerima vaksin termasuk bapanya.

"Mereka dalam proses untuk menyiasat dan menyediakan laporan AEFI (kesan advers susulan imunisasi)," kata Program Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada Majoriti.

Terdahulu, Mohd Asri yang lebih dikenali sebagai Dr Maza berkata, bapanya sudah lebih seminggu terlantar di hospital, selain dipercayai mengalami kesan AEFI.

Beliau berkata, kesan sampingan dialami bapanya termasuk muntah dan badan menjadi sangat lemah.

Katanya, doktor mengesahkan bapanya sekali lagi terkena strok di bahagian sensitif pada kepala.

"Punca masih tidak jelas. Apakah ada kaitan dengan dos penggalak atau tidak?" soalnya di laman rasmi Instagram.

Justeru, beliau menggesa KKM supaya memandang serius dan mengkaji kesan sampingan dos penggalak kepada individu yang mungkin tidak sesuai.

"Ramai yang menyebut hal ini di media sosial. KKM kena ambil perincian setiap kes," katanya.

Sementara itu, Prof Madya Dr Malina Osman memberi saranan supaya menunggu siasatan lanjut KKM berkaitan kes itu.

"Sukar untuk beri kesimpulan atas kes-kes yang sedemikian tanpa data klinikal penuh, " kata pakar kesihatan awam (Epidemiologi dan Biostatistik) Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.

DR Malina berkata, terdapat klinik swasta yang tidak memberi makluman kepada orang ramai tentang langkah berjaga-jaga selepas suntikan vaksin.

Pada masa sama, beliau berkata, semua klinik swasta yang diberi mandat bagi perkhidmatan vaksin Covid-19 perlu berbincang dan memberi nasihat kepada individu yang hadir untuk menerima dos penggalak.

"Saya dapat maklumat terdapat klinik yang tidak memberi tumpuan terhadap makluman untuk setiap yang hadir vaksin tentang langkah berjaga-jaga yang perlu diambil selepas mendapat suntikan.

"Contohnya, nasihat untuk tidak melakukan aktiviti berat yang boleh membebankan fungsi jantung dalam tempoh dua minggu selepas vaksin di samping mencerap AEFI yang lain," katanya. 

— Majoriti