Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Majoriti Perwakilan Pemuda UMNO gesa pemilihan parti selepas PRU15



PETALING JAYA : Majoriti perwakilan Pemuda UMNO di seluruh negara mengesa agar pemilihan parti diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Hasmuni Hassan berkata, gesaan itu merupakan antara dua usul utama dikemukakan oleh 176 bahagian Pemuda UMNO yang bersidang pada baru-baru ini dan dikemukakan kepada ibu pejabat parti untuk dimuktamadkan.

“Usul utama adalah Pemuda UMNO bahagian-bahagian adalah menggesa supaya pemilihan parti diadakan hanya selepas PRU-15. 

“Ini bagi memastikan kerukunan serta kestabilan parti terpelihara dan dapat memberikan ruang kepada kepimpinan parti untuk fokus terhadap agenda membantu rakyat sebelum memulangkan mandat kepada rakyat bagi memilih kerajaan baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Hasmuni berkata, usul kedua adalah supaya UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengetengahkan lebih ramai calon muka baharu dan calon anak muda dalam menghadapi pilihan raya akan datang. 

Katanya, hal ini kerana bagi mengambil semangat daripada keputusan kepimpinan yang meletakkan 87 peratus muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Melalui keputusan ini jualah, PRN Melaka menjadi saksi bahawa tindakan kepimpinan itu telah memberikan kelebihan dan keyakinan rakyat untuk mengundi BN khususnya pengundi anak muda. 

“Justeru itu dengan bertepatan dengan langkah tersebut, perwakilan Pemuda UMNO percaya kepimpinan parti dan BN perlu meneruskan langkah ini, Insya-Allah BN akan kembali menjadi pilihan majoriti rakyat Malaysia. 

“Inilah suara majoriti akar umbi Pemuda UMNO di seluruh negara yang mahukan pengukuhan serta memastikan UMNO menjadi organisasi terbaik yang dapat menjamin kestabilan demi kemakmuran negara,” katanya.

Menurut beliau, sehingga kini, hampir keseluruhan Bahagian Pemuda UMNO di seluruh negara telah melaksanakan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO bermula 11 Disember lalu dengan jumlah keseluruhan yang bersidang, 176 bahagian yang telah menghantar usul untuk diperhalusi dan dimuktamadkan. 

Gesaan agar pemilihan parti diadakan selepas PRU-15 merupakan antara dua usul yang menjadi ketetapan utama bahagian-bahagian Pemuda UMNO yang telah menghantar usul ke Ibu Pejabat UMNO,” katanya.

Beliau percaya Pemuda UMNO sebagai tiang dan teras kepada parti perlu sentiasa bersiap siaga dan memberi komitmen terbaik dalam menghadapi apa-apa jua keadaan. 

“Semoga usul-usul yang diketengahkan dipertimbangkan dengan baik oleh pucuk pimpinan parti demi kebaikan bersama,” katanya.

- UTUSAN ONLINE