Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Mahkamah Rayuan setuju dengar bukti baru Najib


Permohonan Najib Razak untuk membenarkan bukti baru dikemukakan dalam rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana menyalahgunakan dana SRC Internasional Sdn Bhd, akan didengar sehari sebelum Mahkamah Rayuan menyampaikan keputusannya.

Semakan pada jadual kes mahkamah hari ini menunjukkan bahawa pendengaran itu ditetapkan pada 7 Dis.

Perkara itu turut disahkan peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaran ketika dihubungi Bernama hari ini.

Difailkan pada 1 Dis, Najib memohon Mahkamah Rayuan membenarkan dan mengarahkan supaya keterangan viva voce (secara lisan) diambil daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussein, yang merupakan saksi pendakwaan ke-57 dalam kes berkaitan SRC itu serta keterangan mana-mana saksi lain berhubung kes itu.

Dalam afidavit yang difailkan bagi menyokong permohonannya, Najib, 68, berkata permohonan itu dibuat olehnya tanpa berlengah-lengah sebaik sahaja dimaklumkan dan dapat mengumpul semua maklumat dan dokumen yang diperlukan.

Bekas perdana menteri itu mendakwa maklumat sedemikian tidak ada atau tidak diperoleh semasa perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi dan semasa Mahkamah Rayuan mendengar rayuan kes berkenaan, oleh itu dia memohon Mahkamah Rayuan untuk memutuskan permohonan itu sebelum menyampaikan keputusannya.

Najib berkata dia membuat permohonan itu berikutan kenyataan akhbar SPRM bertarikh 19 Nov lepas, mengenai usaha mendapatkan semula aset dana 1MD) antaranya dari Singapura, yang menyatakan kerajaan Singapura telah memulangkan sejumlah AS$15.4 juta kepada Malaysia berkaitan akaun Cutting-Edge Industries Ltd (CEIL) yang dimiliki oleh Dr Tawfiq Ayman, suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Dr Zeti Akhtar Aziz.

Dia menambah pada Oktober dan Disember 2020, artikel diterbitkan oleh portal berita dalam talian yang melaporkan Zeti dan keluarganya telah menerima berjuta-juta dolar daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low termasuk dana yang dikaitkan dengan 1MDB.

Najib mendakwa bahawa pada 20 Jan 2021, peguamnya telah menulis surat kepada Monetary Authority Singapore (MAS) dan CAD untuk mendapatkan pengesahan dan dokumentasi berkaitan akaun CEIL, Iron Rhapsdoy Ltd, Jho Low serta Nik Faisal Ariff Kamil (bekas ketua pegawai eksekutif SRC) dan prosiding undang-undang yang diambil terhadap penyitaan harta kepunyaan mereka.

Najib berkata pada 24 Mac tahun ini, peguamnya menerima emel daripada pegawai Jabatan Hal Ehwal Komersial yang menolak permohonan peguam Najib dan dia gagal untuk mendapatkan bukti yang kini telah disahkan secara boleh dipercayai melalui kenyataan akhbar SPRM bertarikh 19 Nov tahun ini.

Pada 23 Nov, Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Dis untuk keputusan rayuan Najib dan pada hari yang sama dia memohon untuk menangguhkan tarikh keputusan rayuannya itu kerana dia akan berada di Singapura sehingga 5 Dis.

Bagaimanapun, pada hari berikutnya, Mahkamah Rayuan menolak permohonan itu.

-Bernama