Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Gadis menang berjuta saman doktor, dakwa kelahirannya tak patut berlaku



LONDON: Seorang wanita berjaya memenangi tuntutan saman bernilai jutaan pound terhadap doktor kepada ibunya kerana membenarkan proses kelahirannya berlaku.

Evie Toombes, 20, yang menderita penyakit spina bifida iaitu kecacatan tulang belakang terpaksa menjalani rutin harian dengan bergantung hidup terhadap saluran tiub.

Plaintif mendakwa sekiranya doktor kepada ibunya, Dr. Philip Mitchell menasihati ibunya mengambil ubat asid folik bagi mengurangkan risiko kecacatan tulang belakang terhadap bayi yang bakal dilahirkan, sudah tentu ibunya akan menangguhkan kehamilan tersebut.

Wanita itu mendakwa doktor tersebut gagal memberikan nasihat yang betul kepada ibunya ketika hamil.

Evie Tombes dalam rawatan

Hakim Rosalind Coe QC dalam penghakimannya di Mahkamah Tinggi London memutuskan ibu plaintif sepatutnya menerima nasihat yang betul supaya menangguhkan percubaan untuk mengandung.

“Dalam keadaan itu, anak yang dilahirkan sepatutnya sihat dan normal seperti bayi lain,” katanya yang memberikan hak ganti rugi yang besar kepada plaintif.

Peguam kepada Evie berkata, jumlah ganti rugi yang sebenar belum diputuskan, namun berkemungkinan jumlah yang besar kerana plaintif perlu menampung kos keperluan penjagaan sepanjang hayatnya.

Ibu kepada Evie sebelum ini memberitahu mahkamah, sekiranya Dr. Mitchell menasihatinya dengan betul, sudah tentu dia akan menangguhkan hasrat untuk mengandung.

“Saya dinasihatkan jika saya mempunyai diet yang baik sebelum ini, saya tidak perlu mengambil asid folik,” katanya kepada hakim.

Keputusan mahkamah itu sekali gus bermakna seorang profesional di fasiliti kesihatan boleh dipertanggungjawabkan terhadap nasihat yang tidak betul sehingga mengakibatkan kelahiran bayi dengan keadaan kesihatan yang serius.

-AGENSI