Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kes Pukul: Awie diperintah bayar rm80,000 kepada bekas isteri


PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan penyanyi rock terkenal, Datuk Awie membayar ganti rugi berjumlah RM80,000 kepada bekas isterinya, Rozana Misbun akibat kecederaan parah yang ditanggungnya selepas diserang dalam tiga kejadian berasingan, tujuh tahun lalu.

Awie, 53, atau nama penuhnya Ahmad Azhar Othman diperintah membayar ganti rugi am sebanyak RM30,000 atas kecederaan yang dideritai oleh Rozana, 43, dan ganti rugi teruk RM50,000 kerana tekanan dan malu yang ditanggungnya.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Nor Bee Ariffin yang bersidang bersama Datuk S. Nantha Balan dan Datuk Ghazali Cha sebulat suara menolak rayuan pelakon itu dengan kos RM15,000 dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam dan Mahkamah Tinggi yang mengesahkannya.

Hakim Nor Bee ketika membacakan keputusan itu berkata, ganti rugi am dan ganti rugi teruk yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen adil dan munasabah berdasarkan kecederaan yang dialami oleh Rozana serta mengambil kira keadaan kes yang khusus dan pelik melibatkan lokasi dan masa kejadian.

Hakim Nor Bee ketika membacakan keputusan itu menyatakan, ketiga-tiga kejadian serangan berlaku pada hari yang sama pada 2 April 2014 yang mana kejadian pertama dan kedua diakui perayu yang juga vokalis kumpulan rock terkenal, Wings.

Insiden pertama berlaku di rumah kelamin di Ukay Perdana, Hulu Klang di hadapan anak-anak mereka, pembantu rumah dan pemandu, kejadian kedua di hadapan kaunter Permodalan Nasional Berhad (PNB) di Jalan Tun Razak di sini manakala insiden ketiga di kawasan meletak kenderaan.

Menurut Hakim Nor Bee, ketiga-tiga insiden membawa kepada pendakwaan terhadap perayu di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang mana beliau dikenakan kompaun RM10,000 dan dianggap bebas daripada tuduhan itu selepas membayarnya kepada Rozana yang juga adik kepada pelakon Haliza Misbun.

Mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan peguam perayu bahawa Rozana terhalang daripada memfailkan tindakan sivil berhubung kejadian pukul dan tort hentaman (battery) dalam insiden pertama.

Pada hemat panel itu, tindakan kompaun adalah berkaitan prosedur dan undang-undang jenayah dan ia tidak mempunyai kesan terhadap hak responden memfailkan tindakan sivil terhadap bekas suaminya bagi mendapatkan remedi berdasarkan fakta dalam insiden pertama.

Mahkamah turut berpuas hati, Awie kemudian didakwa terhadap pertuduhan kedua di bawah Seksyen 323 kanun yang sama dan didenda RM2,000 manakala tiada pertuduhan dikenakan bagi insiden ketiga.

Panel itu juga berpendapat, Mahkamah Sesyen yang mendengar keterangannya mendapati Rozana seorang saksi yang boleh dipercayai yang kemudian disahkan oleh Mahkamah Tinggi bahawa ketiga-tiga insiden itu benar-benar berlaku.

Sehubungan itu, panel tersebut berpuas hati, Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf atau tersalah arah dari segi undang-undang ketika mencapai keputusannya membenarkan tuntutan saman Rozana manakala Mahkamah Tinggi betul ketika mengesahkannya pada September 2018.

Dalam prosiding hari ini, peguam Hazman Harun mewakili Awie manakala Azlan Abd. Roni, Ahmad Fakhri Abu Samah dan Nasyrah Ezzan Ali mewakili Rozana selaku responden.

Rozana memfailkan saman sivil atas perbuatan tort hentaman (battery) atau pukul yang dilakukan oleh Awie pada 2 April 2014 di beberapa kawasan pada hari yang sama.

Rozana turut menuntut ganti rugi atas kecederaan-kecederaan yang ditanggungnya antaranya keretakan pada bahagian tulang rusuk ke sembilan dan kesepuluh, lebam-lebam di bahagian muka, telinga kiri, leher bahagian kiri, lengan, ketiak, dada, bilateral periorbital dan hidung.

Saman itu juga termasuk penderitaan dialami Rozana antaranya luka, lebam, sakit, kesengsaraan dan kesukaran untuk bernafas termasuk kos rawatan di hospital dan juga malu yang terpaksa ditanggungnya.

Pada Mac 2016, Awie dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Ampang daripada tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Rozana di rumah mereka, selepas membayar kompaun sebanyak RM10,000.

Mahkamah memerintahkan Awie membayar kompaun itu, selepas beliau membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap Rozana.

Sementara itu pada Mei 2016, penyanyi terkenal itu didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah mendatangkan kecederaan terhadap Rozana di kaunter PNB Jalan Tun Razak, pada tarikh sama.

Awie dan Rozana berkahwin pada 20 Jun 2005 dan dikurniakan tiga anak iaitu Putra Ahmad Merrah, Putra Ahmad Rezzki dan Puteri Qasseh Antasha. Pasangan itu kemudian bercerai secara sah pada 1 November 2014. 

– UTUSAN ONLINE