Isu sotong mahal, PPDNHEP bagi peniaga mamak 2 hari untuk maklum balas



GEORGETOWN: Pengusaha Restoran Hameediyah dikehendaki memberikan maklum balas dalam tempoh dua hari kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna PPDNHEP) Cawangan Timur Laut susulan tular sotong goreng dijual dengan harga RM100 di restoran berkenaan. 

Pengarahnya, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, tiga pegawai penguat kuasa PPDNHEP Cawangan Timur Laut telah menjalankan pemeriksaan di restoran nasi kandar di Lebuh Campbell itu hari ini. 

Kata beliau, pihaknya telah mengeluarkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 kepada pengusaha restoran itu bagi mendapatkan maklumat serta harga kos dan jualan bagi sotong goreng. 

“Pengusaha dikehendaki memberikan maklum balas notis dalam tempoh  dua hari bekerja atau sehingga 26 November ini kepada pejabat Cawangan Timur Laut. 

“Sekiranya gagal mengemukakan maklum balas yang diminta, pengusaha boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

TULAR gambar yang dimuat naik individu yang tidak berpuas hati kerana dikenakan bayaran RM100 untuk dua ekor sotong.

Restoran Hameediyah di Lebuh Campbell di sini yang merupakan antara restoran nasi kandar popular di negeri ini menjadi topik panas di dalam media sosial selepas resit hidangan dua ekor sotong berharga RM100 tular hari ini.

Salinan resit berkenaan yang menunjukkan harga bagi dua ekor sotong goreng berharga RM100 manakala sepinggan nasi beriani kosong berharga RM4.50: nasi putih (RM1.50); dua biji telur masin (RM2); papadom (RM3) dan timun (RM2) menjadi perdebatan warga maya yang menganggap harga berkenaan amat melampau. 

Mengulas lanjut, Mohd. Ridzuan berkata, semasa pemeriksaan dijalankan, pegawai penguat kuasa telah PPDNHEP mengambil keterangan peniaga mengenai isu yang tular bagi membantu siasatan lanjut. 

Tambahnya, PPDNHEP negeri sentiasa memandang serius sebarang isu kenaikan harga atau yang unsur pencatutan yang berkemungkinan dilakukan oleh peniaga-peniaga. 

“Sekiranya berlakunya sebarang kenaikan harga yang tidak munasabah, disarankan pengguna membuat laporan rasmi kepada pihak kementerian,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Join our Telegram Channel
Telegram


Isu sotong mahal, PPDNHEP bagi peniaga mamak 2 hari untuk maklum balas Isu sotong mahal, PPDNHEP bagi peniaga mamak 2 hari untuk maklum balas Reviewed by Tun Carlos on November 24, 2021 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.