Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Bilangan kematian Covid-19 meningkat 60.5%



PETALING JAYA: Bilangan kematian pada suku tahun ketiga 2021 meningkat 60.5 peratus kepada 65,584 kematian berbanding 40,858 kematian yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.

Bilangan tersebut merupakan yang tertinggi sejak siri masa suku tahunan dikeluarkan pada 2017.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kematian disebabkan Covid-19 merupakan penyumbang utama kepada peningkatan ketara bilangan kematian pada suku tahun tersebut.

Menurut beliau, kematian disebabkan Covid-19 adalah sebanyak 21,165 kematian, merangkumi 32.3 peratus daripada keseluruhan kematian pada suku tersebut berbanding hanya 15 kematian pada suku sama tahun lalu.

“Kelahiran hidup mencatatkan penurunan sebanyak 0.5 peratus kepada 120, 147 kelahiran berbanding 120,725 kelahiran pada suku sama 2020.

“Selangor mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 22,956 kelahiran (19.1 peratus) manakala jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan Wilayah Persekutuan Labuan dengan 430 kelahiran (0.4 peratus),” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mohd. Uzir, berdasarkan data anggaran semasa, penduduk Malaysia pada suku ketiga tahun ini dianggarkan 32.67 juta orang, meningkat 0.2 peratus berbanding suku sama tahun lalu.

“Data ini akan disemak semula setelah hasil dapatan Banci Malaysia 2020 diperoleh,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Perangkaan melaporkan Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPRP) meningkat 0.2 peratus kepada 110.5 pada suku ketiga tahun ini, berbanding 110.3 pada suku sama tahun lalu.

Mohd. Uzir berkata, subsektor utama yang menunjukkan peningkatan ialah penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman (1.1 peratus); kesenian, hiburan dan rekreasi (1.1 peratus); pendidikan (0.3 peratus); aktiviti hartanah (0.2 peratus) serta kesihatan (0.2 peratus).

Bagaimanapun, kata beliau, indeks untuk subsektor pengangkutan menunjukkan penurunan satu peratus manakala indeks profesional serta maklumat dan komunikasi kekal tidak berubah.

“Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, IHRP meningkat kepada 0.2 peratus, disumbangkan oleh dua subsektor iaitu pengangkutan (0.3 peratus) serta penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman (0.1 peratus).

“Indeks bagi kesenian, hiburan dan rekreasi menurun sebanyak 0.1 peratus manakala subsektor maklumat dan komunikasi; aktiviti hartanah; profesional; pendidikan dan kesihatan kekal tidak berubah,” katanya. 

– UTUSAN