Tolak kerjasama dengan PAS, kenyataan Zahid bukan keputusan parti -Annuar



14 OKT: Para pemimpin UMNO dinasihatkan agar berhati-hati sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan bagi mengelak berlaku masalah dikemudian hari.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, ini kerana kebanyakan kenyataan yang dikeluarkan merupakan pendapat individu dan bukan keputusan parti. 

Beliau berkata, adalah lebih baik sesuatu keputusan yang hendak dijadikan kenyataan diputuskan melalui rundingan berasaskan kepada konsultasi.

“Apa pun, saya fikir UMNO harus lebih berhati-hati sebelum membuat sesuatu kenyataan kerana kadang kala kenyataan dikeluarkan sebagai pendapat individu dan boleh membawa kepada masalah kemudian kepada parti. Jadi, dalam parti elok amalkan budaya berunding supaya kita dapat sesuatu keputusan itu berasaskan kepada konsultasi dan mengelakkan pandangan peribadi.

“Kadang-kadang pandangan peribadi ini didorong oleh sentimen-sentimen tertentu yang boleh merugikan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia di Putrajaya, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu wawancara malam tadi bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara bersendirian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tanpa kerjasama parti lain termasuk Pas yang menjadi sekutunya dalam Muafakat Nasional (MN) atau Bersatu.

Menurut Ahmad Zahid, antara punca tiada kerjasama dengan Pas ialah MN itu sendiri tidak pernah didaftarkan.

Beliau turut menyebut tentang pengkhianatan berulang kali terhadap UMNO sewaktu mengulas berkenaan MN namun tidak memberikan penjelasan lanjut mengenainya.

Mengulas lanjut Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berharap, apa-apa jua pendirian yang dibuat oleh UMNO tidak lagi melihat kepada kepentingan parti itu sendiri sebaliknya harus juga melihat kepada kedudukan UMNO sebagai pihak yang sedang memimpin dan memerlukan kerjasama banyak pihak.

“UMNO akan kerugian jika menolak kerjasama dengan parti-parti lain kerana parti itu sendiri sememangnya memerlukan kerjasama tersebut. UMNO perlu mengamalkan politik muafakat dan perbincangan bagi mencapai inklusiviti yang perlu dijadikan perhatian serius,” katanya. 

-PNBBC

Join our Telegram Channel
Telegram


Tolak kerjasama dengan PAS, kenyataan Zahid bukan keputusan parti -Annuar Tolak kerjasama dengan PAS, kenyataan Zahid bukan keputusan parti -Annuar Reviewed by Tun Carlos on October 14, 2021 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.